Home Berita PAS Kelantan

PKINK Terus Bantu Masyarakat

658
SHARE

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baru bertekad untuk terus komited dalam melaksanakan program Tanggungjawab Sosial korporat (CSR) demi memberikan kehidupan selesa kepada masyarakat di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus berkata, sejak sekian lama, PKINK melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk membaiki rumah rakyat miskin dan almari makanan untuk Asnaf bertujuan menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat di negeri ini.

Jelas beliau, untuk projek membaiki rumah rakyat miskin sahaja, sejak dijalankan pada tahun 2016 lebih 2 ribu penerima telah mendapat manfaat daripadanya.

“Kita juga turut membantu usahawan Industri Kecil dan sederhana (IKS) dengan menyediakan peralatan perniagaan, sejajar dengan saranan kerajaan negeri supaya syarikat milik kerajaan (GLC) membantu mengupayakan taraf hidup rakyat agar menikmati kehidupan lebih selesa.

“Program CSR ini turut memberi fokus kepada masjid, Pusat Tahfiz, Sekolah Agama, Rumah Anak Yatim, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi yang kurang berkemampuan,” kata­nya ketika berucap dalam majlis Ramah Mesra YABrs Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Bersama Media Kelantan Dan Majlis Serahan Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PKINK di Dewan Makan VIP, Bangunan PKINK di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perancangan dan Pembangunan (P&P) Kumpulan PKINK, Mohamad Nasriff Daud, Pengurus – pengurus Kanan dan Pengurus-pengurus Kumpulan PKINK.

Pada majlis itu, Ab Aziz menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, komputer riba dan peralatan perniagaan kepada 10 penerima yang terdiri daripada jabatan kerajaan, NGO dan individu. – PKINK 13/8/2018

https://www.facebook.com/sedckelantan/posts/1811402748938048