Home Kenyataan Media PAS Johor

PRU 15 tidak perlu diadakan dalam tempoh masa terdekat

70
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS JOHOR

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Segala pujian hanya selayaknya untuk Allah S.W.T, selawat dan salam setinggi-tingginya diucapkan ke atas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat Baginda, para Tabi’in, atba’ Tabi’in serta seluruh umat yang mengikuti jalan Baginda Rasulullah S.A.W.

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Firman Allah S.W.T :

وَلَا تُفْسِدُوْا فِى الْاَرْضِ بَعْدَ اِصْلَاحِهَا وَادْعُوْهُ خَوْفًا وَّطَمَعًاۗ اِنَّ رَحْمَتَ اللّٰهِ قَرِيْبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِيْنَ.

Mafhumnya : “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (Allah menciptakannya) dengan penuh kebaikan (dan kesempurnaan). Berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat (kasih sayang) Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan”.

Surah Al-A’raaf : 56

PAS Johor secara tegas menyokong penuh saranan Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS agar Pilihanraya umum ke -15 TIDAK diadakan dalam tempoh terdekat. Ini kerana rakyat masih terbeban dengan keadaan ekonomi yang belum pulih, ditambah lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan manakala pengurusan Pilihanraya pastinya memerlukan kos yang sangat tinggi. PAS Johor selaras dengan PAS Pusat menggesa agar fokus diberikan kepada usaha ke arah pemulihan ekonomi dan negara setelah dunia dilanda pandemik covid 19.

Keutamaan pada waktu ini adalah mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan bukannya memberi fokus kepada perebutan kuasa politik yang tidak berkesudahan.

PAS Johor menyeru semua pihak agar menjadikan agenda memakmurkan negara dengan memaksimumkan usaha ke arah mengembalikan kesejahteraan negara dan rakyat dijadikan sebagai agenda utama negara.

Rakyat sedang dihimpit oleh kenaikan harga barangan keperluan, kenaikan kos pengurusan dan kesukaran hidup. Adalah tidak wajar untuk menambahkan lagi kesengsaraan rakyat. Tempoh penggal PRU 14 masih berbaki setahun sebaiknya dijadikan waktu yang amat berharga untuk pemimpin berkhidmat kepada rakyat. Ingatlah, setiap tanggungjawab pasti akan dipersoalkan bukan hanya di dunia tetapi yang lebih utama adalah persoalan di akhirat.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Ustaz Abdullah Husin,
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.

5 Zulkaedah 1443
5 Jun 2022