Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Pindaan Akta 164 : Pendirian PAS

769
SHARE

Kenyataan Media Penerangan. 150/21

10 August 2017 / 17 Zulqaedah 1438

1. Akta 164 ialah suatu Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Penceraian 1976.

2. Terdapat beberapa isu kontroversi mengenai Akta 164 (pindaan) 2016 ini. Meskipun Seksyen baharu 88A yang dicadangkan dalam pindaan 2016 sebelum ini telah ditarik balik 7 Ogos 2017 yang lalu, namun masih banyak isu berbangkit yang melibatkan percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan.

3. PAS melihat Pindaan Akta 164 ini sangat penting justeru ia melibatkan kepentingan agama, keadilan dan undang-undang pula melibatkan muslim dan non muslim sedang kedua-dua pihak perlu diberikan keadilan dan memulangkan hak mereka.

4. Meluluskan Akta 164 (pindaan) 2016 setelah dikemukakan kembali pada hari Selasa baru ini ke Dewan Rakyat secara tergesa-gesa, pasti sahaja masih tidak dapat menyelesaikan masalah yang kompleks dan berlangsung polemiknya sejak sekian lama. Justeru itulah, PAS sebelumnya mencadangkan supaya Akta 164 (Pindaan) 2016 ini ditarik balik atau ditangguhkan.

5. Rasionalnya supaya pindaan Akta 164 diteliti semula sebelum diangkat dan dibahas dengan perhatian kepada :

i – mengambil kira fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan lantaran ia melibatkan agama.
ii – melihat kepentingan dan isu berbangkit melibatkan saudara baru (muallaf) mendepani kehidupan mereka dalam suasana baru.
iii – mengambil kira pandangan dan aduan dari pihak non muslim serta masalah yang mereka hadapi untuk memberi dan memulangkan hak mereka.

iv – meluruskan Pindaan Akta 164 dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan hak kepada semua dengan Islam sebagai Agama Persekutuan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
v – demikian juga peruntukan Senarai II Jadual 9 (bidang kuasa negeri apabila menyentuh undang-undang diri dan keluarga seseorang yang menjadi muslim)
vi – percanggahan dengan Akta 303 Seksyen 46(A) dan enakmen-enakmen negeri yang memperuntukan peruntukan yang sama.

6. Bagi merealisasikan maksud itu, PAS melalui YB Dato Takiyudin Hassan (MP Kota Bharu) telah mengemukakan suatu cadangan penting :

i – supaya kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan melibatkan kerajaan, parti politik, ngo, agensi agama dan sebagainya bagi membincang secara halus dan terperinci pindaan Akta 164 ini.

7. Namun kiranya kerajaan bermaksud mahu meluluskan juga Pindaan Akta 164 tanpa menimbang cadangan PAS supaya menangguhkan pindaan ini, maka MP Kota Bharu mencadangkan penyelesaiannya :
ii – menubuhkan badan atau Tribunal Mediasi bagi mengharmonikan penyelesaian antara pihak yang berpolemik. Terdiri dari pihak berwajib, pakar perundangan, pihak berauthority dari kedua-dua pihak yang terlibat dan sebagainya.

8. YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at Takiri (MP Kuala Nerus) menambah agar Tribunal Mediasi ini diaktakan supaya ia menjadi satu sistem penyelesaian, mengelak konflik agama, keluarga dan kaum.

9. Usaha Ahli – Ahli Parlimen PAS yang menggesa supaya ditangguhkan Pindaan Akta 164 ini gagal kerana tidak disambut oleh pihak MP Barisan Nasional apatah lagi pembangkang yang lain. Malah percubaan untuk membuat belah bahagian (mengundi) juga gagal kerana syarat layak mohon mengundi ialah mesti berdiri menyokong oleh 15 Ahli Parlimen.

10. Perbahasan yang membawa pendirian PAS ini diwakilkan kepada YB Dato Takiyudin Hassan (MP Kota Bharu) juga sebagai Ketua Whip PAS dan YB Datuk Dr. Khairudin Aman Razali (MP Kuala Nerus). Akhirnya Pindaan Akta 164 diluluskan diperingkat Dasar dan Jawatankuasa sekitar jam 1.00 pagi dengan menyaksikan hanya PAS yang membantah.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Penerangan PAS Pusat