Home Berita PAS Kelantan

Piala Menteri Besar Kelantan tawar hadiah wang tunai

142
SHARE

KOTA BHARU, 18 Dis: Perlawanan kejohanan bola sepak bagi merebut piala YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar, dijangka akan bermula pada awal Januari tahun hadapan dan Johan keseluruhan akan membawa pulang ​​​​wang tunai RM 6 ribu beserta piala dan medal.

Kejohanan ini merupakan kesinambungan dari Kejohanan Liga Elit DUN (LED) 2022, anjuran Urusetia Belia Dan Sukan (U-BeS) Negeri Kelantan dengan kerjama Department of Arts, Culture & Sports (DACS) Negeri Kelantan.

Sementara itu, jumlah keseluruhan pasukan adalah sebanyak 45 pasukan, iaitu pasukan yang mewakili setiap DUN dan berumur 25 tahun kebawah mengikut tahun dilahirkan serta lokasi bagi pertandingan tersebut akan ditentukan oleh Urusetia Kejohanan nanti.

Exco Belia Sukan dan NGO Negeri, YB Wan Roslan Wan Hamat berkata, Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa itu turut mengadakan pelbagai pendekatan dan program bagi menyantuni para belia selain membantu agenda pembangunan belia negeri dengan menaikkan taraf ekonomi dan berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita mahu anak muda kita jangan pasif tetapi aktif. Kita tidak mahu para anak muda itu hanya tahu menghitung hari, tetapi yang kita mahukan ialah, anak muda yang ligat dan giat ‘mengisi’ waktu atau hari dengan aktiviti-aktiviti berkebajikan, bukan membiarkannya kosong atau berlalu begitu sahaja,” katanya pada Majlis Pelancaran Piala MB bertempat di H Elite Hotel Tunjong, semalam.

Bagaimanapun, tambahnya Kerajaan Negeri juga istiqamah membangunkan generasi muda Kelantan melalui pendidikan modal insan,dengan pelaburan dan peruntukan yang tinggi, supaya anak-anak muda di Kelantan dapat disemai dengan pelbagai program yang membentuk jati diri dan akhirnya boleh melahirkan anak muda bermaruah yang mempunyai nilai-nilai Islam.

“Ke arah anak muda berkualiti, tidak syak lagi, adalah satu pelaburan. Ia memerlukan komitmen semua pihak dan dilaksanakan melalui pelan strategik membentuk kewibawaan, yang dimulai dengan meningkatkan kesedaran dikalangan anak muda,” ulasnya.