Home Berita PAS Kelantan

Pesakit di hospital terima sumbangan raya MB

1053
SHARE

 

BAGI pesakit yang terlantar di hospital, saat paling gembira apabila menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan Menteri Besar.

Hari ini Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob bersama anggota-anggota Exco mengagihkan sebanyak 172 bungkusan hadiah kepada pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Beliau berkata, penyampaian sumbangan tersebut diadakan setiap tahun agar pesakit dapat bersama meraikan hari istimewa.

“Kita berharap mereka diberi kekuatan agar secara pulih daripada sakit yang dialami dan gembira dengan penyampaian sumbangan ini.

“Begitu juga pihak hospital yang bekerja keras menjaga pesakit. Ini adalah pengorbanan yang kita sangat hargai,” katanya selepas menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada pesakit di wad satu selatan dan wad satu mutiara HUSM.

Turut menziarahi wad itu Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO, Datuk Dr Ramli Mamat.

Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada 12 kakitangan di wad satu selatan.

Di wad dua selatan pula sumbangan kepada pesakit disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan anggota Exco, Datuk Hanifa Ahmad.

Wad empat selatan, Datuk Anuar Tan Abdullah dan Datuk Nassuruddin Daud.

Wad enam selatan pula diziarahi Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Manakala Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd Rahman di wad tujuh selatan.

Sebelum itu ketika melawat mantan timbalan menteri besar, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman di Mutiara 1, Ustaz Ahmad berkata keadaan kesihatannya semakin baik.

“Datuk Halim merupakan veteran PAS yang sangat kita kagumi,” katanya.

Di wad sama seorang pelajar Maahd Tahfiz al Hashimi yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Telekong baru-baru ini turut mendapat perhatian beliau.

Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 16, kini mendapat rawatan intensif dan masih koma.

“Kita berdoa agar dia sembuh walaupun kini belum sedar dan bernafas dengan bantuan alat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) pula menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Rombongan Purnama diketuai Timbalan Pengerusi, Datin Hasmani Hussain. Sebanyak 147 bungkusan diagih kepada pesakit di hospital terbabit. – HARAKAHDAILY 20/6/2017 {jathumbnail off}