Home Artikel PAS Melaka

Perwakilan Melaka-Negeri Sembilan sokong penuh ucapan dasar Presiden PAS

358
SHARE

 

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 13 Sept : Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-66 hari ini dilihat sebagai kelangsungan kepada kesepakatan PAS di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa perwakilan muktamar dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditemuramah selepas mendengar ucapan dasar Presiden PAS yang disiarkan secara dalam talian pagi tadi menyokong penuh ucapan dasar tersebut sambil menyifatkan ucapan dasar itu sebagai ucapan yang menarik dan dilihat memberi beberapa peringatan penting serta menggariskan tindakan yang perlu disusuli oleh ahli dan pimpinan parti pelbagai peringkat.

Perwakilan dari Jasin Melaka, Mohd Norfaizal Nordin berkata ucapan dasar itu menekankan perkara penting tentang peranan PAS dalam siasah dan Islam yang perlu diterapkan pada ahli PAS seperti sifat adil, berakhlak dan berilmu demi menjaga bangsa dan memimpin Islam.

“Seterusnya saya menggesa agar setiap perlakuan atau tindak tanduk ahli, mestilah berpaksikan al-Quran dan sunnah agar sentiasa berada di atas landasan yang betul, sekaligus menutup ruang bagi musuh mengambil kesempatan.” tegas beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) ketika ditemuramah di lokasi muktamar di Hotel Sentral Melaka di sini sebentar tadi.

Turut berkongsi pandangan ialah perwakilan dari Tangga Batu Melaka, Ir Mohd Hanim Abas yang berpendapat bahawa ucapan dasar ini menyentuh secara menyeluruh pada petugas dan ahli PAS merangkumi Dewan Pemuda, Muslimat, Ulama dan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk menyambut persediaan PRU15 dan jentera di kawasan, cawangan perlu berganding bahu dalam merealisasi tema Islam dalam memenangkan negara mengikut acuan Islam.

Manakala perwakilan dari Kuala Pilah Negeri Sembilan, Abdul Rahim Ujang pula berkata ucapan dasar Tuan Guru Presiden kena pada masa dalam keadaan masyarakat yang terumbang ambing antara satu sama lain dengan tema muktamar ‘Islam Memperkukuh Perpaduan’ adalah penerusan bagi tema tahun lepas bagi meneruskan pengukuhan perpaduan.

“Pengukuhan perpaduan ini bukan sahaja PAS, Umno dan Bersatu malah dengan orang-orang bukan Islam yang bersedia untuk membantu dan menyokong perjuangan Islam bersama parti yang lain.

“Saya juga mengajak perwakilan agar meninggalkan sikap gopoh dalam perjuangan demi mencari kemenangan dan juga terpengaruh dengan janji-janji pihak luar.” ujarnya.

Sementara itu wakil Muslimat dari Seremban Negeri Sembilan, Saadah Dahlan berkata Muslimat perlu berganding bahu bersama Muslimin untuk memperkukuhkan perpaduan dan bahagian dakwah pula perlu bergerak secara sistematik sebagai mengambil perhatian daripada ucapan dasar Presiden tadi.

“Muslimat perlu turun dalam masyarakat dan kita akan bawa ke kawasan masing-masing (untuk menjalankan aktiviti dakwah).”


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)