Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Presiden PAS Sempena Hari Raya Aidilfitri 1438H

1034
SHARE

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana dapat menjadi tetamu Allah selama sebulan di bulan Ramadan. Allah telah mendidik kita dengan meninggalkan makan minum dan kemahuan nafsu yang dihalalkan di waktu siang hari pada bulan-bulan yang lain. Tujuannya supaya kita sedar betapa kehidupan kita menjadi manusia dengan adanya akal fikiran untuk mencari ilmu dan pengalaman hidup, rezeki harta dan kemudahan adalah semuanya pemberian daripada Allah.

Hari raya bermakna kita menyambut kemenangan, maka tiada kemenangan bagi mereka yang tidak berpuasa Ramadan dan tidak meninggalkan maksiat. Setelah itu, wajiblah juga kita raikan kemenangan dengan berjuang melawan musuh Allah seluruh pelosok dunia yang menyekat dan menghalang Islam, supaya hukum Allah di dalam Al-Quran yang diajarkan oleh Rasulullah SAW diamalkan semula keseluruhannya setelah dibuang oleh para penjajah.

Walaupun kita telah berjaya meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui rundingan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi di dalam perlembagaan itu juga masih ada halangan-halangan yang menyekat kuasa hukum Islam. Di antaranya adalah perkara yang disebut Akta 355 yang menjadikan Mahkamah Syariah bagi orang-orang Islam disekat kuasanya.

Mewujudkan Mahkamah Syariah adalah perintah Al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW. Mahkamah Syariah sudah ada pada namanya sahaja, tetapi kuasa berhukum dengan syariat Allah disekat dan dihalang oleh penjajah Inggeris dahulu. Maka wajib kepada kita semua bersatu membuang segala sekatan itu dan haram bersama mereka yang menentang dan menghalang usaha ini. Melaksanakan hukum Allah juga menjadi sebahagian daripada iman dan amal soleh yang wajib kerana termasuk dalam perkara amar maaruf dan nahi mungkar yang disebut oleh Allah menjadi syarat mendapat rahmat-Nya.

Marilah kita menyambut hari raya dengan semangat kuat bertaqwa kepada Allah, membuktikan keimanan kepada semua petunjuk Al-Quran dan bersatu menentang semua pihak yang bermusuh dengan usaha menegakkan hukum Islam, yang terkini adalah RUU 355 yang menjadi pembuka pintu kepada semua negeri bagi kembali kepada hukum Islam mengikut kemampuan masing-masing. Lupakan segala perbalahan kita dengan menghadapi musuh yang sebenar kerana yang menjadi musuh kita adalah yang menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi dengan berbagai tipu daya dan fitnah.

Dalam kesempatan ini juga, saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli PAS, para penyokong dan seluruh umat Islam walau dimana jua berada.

Saya mendoakan anak-anak di perantauan yang pulang beraya di kampung halaman agar selamat sampai ke destinasi yang dituju. Pandulah secara berhemah dan berhati-hati. Elakkan memandu ketika mengantuk, berehatlah sekejap. Patuhi peraturan jalanraya dan had laju yang ditetapkan serta menghormati pengguna jalanraya yang lain.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Minal ‘Aidin Wal Faizin

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Syawwal 1438H bersamaan 25 Jun 2017M