Home Mursyidul Am

Perutusan Khas Aidilfitri Mursyidul AM:Selamat Menyambut Aidilfitri Kepada Seluruh Rakyat Malaysia

2,009 views
SHARE

PERUTUSAN KHAS AIDILFITRI MURSYIDUL AM

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar

“Segala puji bagi Allah yang telah membenarkan janjiNya, memenangkan hambaNya dan mengalahkan pakatan Al-Ahzab dengan sendiriNya.”

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T yang telah memberikan nikmat kepada kita semua bertemu hari kemenangan, iaitu Hari Raya Eidilfitri 1438H setelah sebulan madrasah Ramadan dilalui. Semoga Allah S.W.T menerima segala amal ibadah yang dilakukan sepanjang sebulan berpuasa.

Hari raya merupakan hari kegembiraan kepada seluruh umat Islam. Sirah para nabi menukilkan hari raya disambut dengan perasaan gembira dan penuh syukur kepada Allah S.W.T.

Dalam kemeriahan sambutan aidilfitri, usah dilupa saudara seagama yang ditindas tanpa belas kasihan. Hari ini, umat Islam diduga dengan pelbagai ujian yang sangat menyedihkan hati. Identiti umat Islam mula dipalit sebagai pengganas dan dilaga-lagakan atas nama mazhab. Hal demikian sengaja diwujudkan supaya umat Islam terus berpecah belah kerana musuh Islam sangat gerun dengan usaha umat Islam untuk bersatu di atas nama Islam dan seruan Al-Quran.

Sempena Aidilfitri ini, marilah sama-sama kita hayati kisah perang Hunayn yang berlaku pada awal Syawal tahun ke-8 Hijriyah. Melalui perang tersebut, tentera kaum Muslimin dengan kekuatan dua belas ribu orang berhadapan bala tentera musyrikin yang jumlahnya seramai dua puluh ribu orang tentera.

Dalam peperangan tersebut, puak Muslimin yakin bahawa mereka mampu mengalahkan pihak lawan dengan kekuatan yang ada. Namun Allah S.W.T mempunyai perancangannya yang tersendiri di mana pada akhirnya Muslimin tidak menang kepada musuh.

Perang ini memberi pelajaran yang penting tentang aqidah Islam. Walaupun jumlah tentera kaum Muslimin ramai, namun ianya tidak dapat memberikan manfaat apabila mereka tidak bersabar dan bertaqwa. Hal ini kerana keimanan dan nilai-nilai keislaman belum menghujam ke dalam hati sebahagian besar di antara mereka.

Walaupun kebanyakan masa mereka bersama dengan Rasulullah S.A.W secara fizikalnya, namun hati dan jiwa mereka masih leka dengan kehidupan dunia.

Justeru, marilah kita bersatu dalam satu saff, terus istiqamah menyebarkan kebenaran Islam kepada masyarakat.

Akhir kata, raikanlah kedatangan Syawal dengan penuh rasa kehambaan. Sesungguhnya Syawal merupakan anugerah buat hambaNya yang beriman dan taat.

Taqabbalahu minna wa minkum

‘SEJAHTERA BERSAMA ISLAM’

HAJI HASHIM JASIN
Mursyidul Am
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
{jathumbnail off}