Home Naib Presiden 3

Cadangan Buat Dua Pekerjaan Akan Meruntuhkan Institusi Keluarga

3,794 views
SHARE

Kenyataan Akhbar

CADANGAN BUAT DUA PEKERJAAN AKAN MERUNTUHKAN INSTITUSI KELUARGA


Cadangan agar rakyat Malaysia melakukan lebih dari satu pekerjaan yang disokong oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan melalui “tweet” beliau boleh meruntuhkan institusi keluarga.

Jika bapa atau ibu terpaksa melakukan kerja kedua dan masa bersama anak-anak semakin berkurangan maka kemungkinan hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang.

Akibatnya anak-anak akan kurang menerima kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya dari ibu bapa. Maka anak-anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan-kawan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kekosongan yang dirasakan oleh mereka. Tambahan pula anak-anak seperti ini mungkin akan memberontak untuk mendapatkan perhatian. Jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh mewujudkan gejala-gejala sosial.

Cadangan ini juga gagal menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Malah ia akan mewujudkan masalah-masalah lain.

Ramai rakyat Malaysia yang terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaaan kerana pendapatan mereka tidak dapat menampung keperluan perbelanjaan. Di antara sebab utama adalah kos sara hidup yang meningkat. GST adalah juga salah satu punca peningkatan kos sara hidup ini.

Selain dari itu, nilai ringgit yang merudum jatuh menyebabkan barangan yang diimport seperti bahan makanan dan ubat-ubat turut meningkat harganya.

Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ini dan bukan menyarankan rakyat membuat dua pekerjaan.

Di Selangor di antara usaha-usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat adalah dengan mengecualikan cukai pintu untuk Rumah Kos Rendah dan memperkenalkan skim rawatan kesihatan percuma Peduli Sihat. Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi usaha-usaha seperti ini.

DATO’ ISKANDAR A. SAMAD
NAIB PRESIDEN PAS
23 JUN 2017

{jathumbnail off}