Home Uncategorized

Perutusan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor sempena Maal Hijrah 1440

1235
SHARE

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Firman Allah SWT di dalamSurah Al-Baqarah: ayat 218:

اِنَّ الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا وَالَّذِيۡنَ هَاجَرُوۡا وَجَاهَدُوۡا فِىۡ سَبِيۡلِ اللّٰهِۙ اُولٰٓـئِكَ يَرۡجُوۡنَ رَحۡمَتَ اللّٰهِؕ وَاللّٰهُ غَفُوۡرٌ رَّحِيۡمٌ.

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Ayat di atas menjelaskan kepada kita bahawa iman tanpa hijrah tidak akan bermakna, begitu pula hijrah tanpa jihad tidak akan berbuah. Ujian nilai hijrah menjadi neraca ketelusan dan kualiti iman seseorang yang membawa kebaikan dan maslahat bersama. Sirah Hijrah merakamkan peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan umat Islam berpindah dari Mekkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi atas perintah Allah SWT.

Sejarah penting ini menunjukkan kesungguhan umat Islam dalam menuju kejayaan bagi meneruskan perjuangan Tauhid dan mengembangkan dakwah Islam. Hikmah sirah ini mengiktiraf baginda SAW di mata dunia sebagai Rasul Allah dan pemimpin Islam pertama di dunia yang melaksanakan penggubalan negara Islam berlandaskan prinsip Al-Quran dan Al-Sunah yang mesti dipatuhi semua rakyat majmuk di Madinah ketika itu.

Bersempena memperingati sirah ini, setiap tahun rakyat Malaysia menyambut Maal Hijrah atau awal Muharam dengan pelbagai program bermanfaat dianjurkan. Usaha murni pelbagai pihak ini sudah tentu dapat mengingati kita pada perit jerih pengorbanan Nabi SAW sehingga berdepan dengan cubaan Kaum Quraisy Mekkah untuk membunuh baginda SAW. Apabila menyebut Maal Hijrah, sebagai umat Islam tidak seharusnya sekadar terhenti dalam ruang ‘meraikan’ dan ‘mengingati’ sahaja. Sebaliknya, kita berusaha mengambil pengajaran dari sirah tersebut melalui pengamalan diri.

Dua nilai yang terdapat dalam konsep Hijrah Rasulullah SAW untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian ialah nilai pengorbanan dan nilai usaha. Kedua-dua nilai ini mestilah diniatkan kerana Allah SWT. Bagi menjadi hamba yang taat di sisi Allah dan umat yang meneladani perjuangan Nabi SAW, berusahalah untuk ‘mujahadah’ hawa nafsu dan semaikan ‘amar makruf nahi munkar’ pada diri, keluarga dan masyarakat tanpa berkira masa, wang dan tenaga.

Dua nilai ini perlu difahami sebaiknya agar umat Islam Malaysia menyambut awal Muharam dengan kesedaran, keyakinan dan kesungguhan untuk memartabatkan Islam di Malaysia demi mengecapi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Justeru, Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengucapkan ‘Selamat Menyambut Maal Hijrah 1440’ kepada seluruh Umat Islam khususnya di Selangor dan amnya di Malaysia.

Sollu ‘ala Nabiy~

“Istiqamah Membina Selangor Sejahtera”

USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor.

11 September 2018 l 1 Muharam 1440