Home Uncategorized

Perutusan Israk dan Mikraj daripada Dewan Pemuda PAS negeri Kedah

475
SHARE

PERUTUSAN ISRAK DAN MIKRAJ DARIPADA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
22 MAC 2020 | AHAD

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Muslimin dan muslimat seluruh Rakyat Negeri Kedah yang dirahmati Allah.

Isra’ dan Mikraj merupakan peristiwa agung yang diingati oleh umat Islam seluruh dunia. Peristiwa Isra’ dan mikraj merupakan kejadian luar biasa yang menjangkau batas pemikiran manusia dan merupakan salah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T yang ditunjukkan kepada Baginda Nabi S.A.W.

Peristiwa ini juga memperlihatkan kehebatan Allah S.W.T dan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W sepertimana firman Allah yang mafhum-Nya:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Isra’: Ayat 1)

Ditakdirkan kita menyambut peristiwa Isra’ dan Mikraj pada tahun ini dalam keadaan negara berhadapan dengan wabak Corona Virus (COVID-19). Peningkatan mendadak jumlah mangsa yang dijangkiti COVID-19 menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di negara kita.

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) menyeru kepada seluruh umat Islam di Negeri Kedah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan sentiasa duduk di rumah (stay at home). Gunakanlah ruang masa yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk beribadah seisi keluarga. Manfaatkan ruang yang ada untuk melakukan aktiviti kekeluargaan di rumah terutamanya solat berjemaah dan bacaan Al-Quran seisi keluarga.

Sama-sama kita doakan semoga Allah S.W.T menjauhkan wabak COVID-19 yang melanda negara kita dan semua mangsa yang dijangkiti beransur pulih serta melindungi kita semua terutamanya pasukan petugas barisan hadapan daripada kalangan petugas kesihatan dan keselamatan.

DPPNK juga menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang politik dalam menghadapi wabak COVID-19 ini. Jangan disebabkan perbezaan wadah politik menyebabkan tindakan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipertikai membabi buta tanpa memberi solusi yang tuntas bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi ini.

Selamat Menyambut Israk dan Mikraj.

“Keselamatan Kita Adalah Tanggungjawab Kita Bersama”

وَبِاللهِ التَّوْفِيْق وَالْهِدَايَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Yang Benar,

Ustaz Nasrun Othman
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah