Home Kenyataan Media PAS Kedah

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah

45 views
SHARE

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI KETUA PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
4 Jun 2019

الله أكبر الله أكبر الله أكبر
لا إله إلا الله والله أكبر
الله أكبر وللهِ الحَمْد

Takbir, tahmid, tasbih membesarkan Allah SWT bakal bergema di Aidilfitri. Tanda kesyukuran diatas kemenangan kita mendidik nafsu dan kejayaan meraih kelebihan Ramadhan Al-Mubarak yang lalu.

Kalimah-kalimah tersebut pertama kali dilafazkan oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda sesudah menawan Kota Mekah. Dalam usaha merampas semula Mekah, Rasulullah SAW membuat persiapan rapi. Rasulullah SAW memimpin 10,000 orang tentera Islam yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar.

Tentera Islam bertolak dari Madinah pada tanggal 19 Ramadan tahun ke-8 Hijrah menuju ke Kota Mekah melalui celah-celah pergunungan dan bukit pasir. Dalam perjalanan itu Rasulullah bergabung pula dengan setiap kabilah yang baginda temui. Akhirnya, tentera Islam memasuki Kota Mekah melalui empat penjuru.

Sebagai tanda kesyukuran baginda terus menuju ke Kaabah untuk bertawaf, bertakbir, bertahmid dan mulai berkhutbah dibacakan ayat 13 daripada surah al-Hujurat yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Dikesempatan ini Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah & sof kepimpinan Pemuda mengucapkan salam ‘kemenangan’ Aidilfitri kepada seluruh umat islam terutama bagi anak-anak Kedah.

Kepada para-perantauan pulanglah dengan selamat kepangkuan keluarga yang menanti. Kemeriahan disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat silaturahim. Teruskan tradisi kunjung mengunjung sanak-saudara disamping bermaaf-maafan. Semoga Aidilfitri kali ini lebih bermakna.

“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

(Ali Imran:133)

Salam Aidilfitri :-

Nurul Amin Bin Hamid
KETUA PEMUDA PAS NEGERI KEDAH & seluruh Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kedah