Home Berita PAS Kelantan

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1438H YAB USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN

857
SHARE

Marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dikesempatan berada dipenghujung Ramadhan ini, kita masih dikurniakan nikmat kehidupan untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Sayangilah bulan Ramadhan yang semakin hampir meninggalkan kita. Ramadhan telah mendidik kita sehingga mencintai Al-Quran, berusaha untuk solat terawih juga qiamullail dan perkara kebajikan yang lain. Janganlah kita menjadi golongan yang meninggalkan amalan soleh ini setelah pemergian Ramadhan. Abdullah bin Amru bin Al-Ash ada menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah mewasiatkan beliau agar terus istiqamah dalam melaksanakan amalan, katanya:

“Rasulullah SAW berpesan kepadaku dengan sabdanya: wahai Abdullah, jangan kamu jadi seperti orang itu, (sebelum ini) dia laksanakan qiamullail kemudian dia meninggalkannya (pada masa lain)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun kita bergembira untuk menyambut hari raya Aidil Fitri yang bakal menjelma, namun jangan dilupakan Ramadhan yang masih berbaki ini. Sempena umat Islam seluruh dunia akan menyambut Aidil Fitri, sama-samalah kita lahirkan rasa gembira diatas kemenangan diri untuk berpuasa selama sebulan dan mengerjakan amalan khairat yang lain.

Semoga Allah menerima segala amalan dengan kita mendoakannya tatkala menyambut hari raya. Bertemulah kaum kerabat dan sahabat handai dengan wajah gembira dan mendoakan agar amalan Ramadhan diterima Allah sepenuhnya. Jubair bin Nufair R.A ada berkata:

“Adalah (menjadi amalan) para sahabat Rasulullah SAW apabila berjumpa pada hari raya, mereka saling mengucapkan: “Taqobbalallahu Minna Waminkum” (Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan kalian)”.

Semasa bergembira dihari raya, jangan dilupai saudara se-akidah diseluruh dunia yang ditindas dibawah kezaliman musuh Islam dan Zionis. Utusilah mereka doa supaya Allah sentiasa memperteguhkan hati dan seterusnya menurunkan nusrah-Nya kepada mereka.

Saya mengambil kesempatan disini menyeru sekalian kaum muslimin untuk menjadikan Islam sebagai panduan dan pegangan dalam semua aspek kehidupan. Sesungguhnya kesejahteraan dalam kehidupan hanya dapat dicapai dengan keteguhan Islam dalam diri seluruh ummah.

Kepada anak-anak perantau yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah dijalan raya. Pandu secara berhemah dengan berbekalkan doa insya-Allah selamat. Saya dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Taqobbalallahu Minna Waminkum.

“MERAKYATKAN MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

“KELANTAN SEJAHTERA UNTUK ISLAM”

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
(DATO’ BENTARA KANAN)
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 29 Ramadhan 1438H / 24 Jun 2017M