Home Kenyataan Media PAS Melaka

Perutusan Hari Pekerja 2020 PAS Kawasan Masjid Tanah

759
SHARE

Hari ini sekali lagi kita menyambut Hari Pekerja sebagai menghargai jasa para pekerja dalam membina kekuatan ekonomi sesebuah negara.

Sambutan Hari Pekerja ini bermula di Amerika Syarikat dan Kanada sekitar abad ke 19 lagi dengan kejayaan perjuangan golongan pekerja pada waktu itu menuntut agar mereka berhak untuk bekerja pada kadar lapan jam sehari sebagai waktu asas. Sekiranya lebih dari lapan jam mereka perlu dibayar dengan kadar lebih masa.

Semenjak dari itu gerakan pekerja ini terus memperjuangkan hak mereka untuk mendapat suasana pekerjaan serta upah dan lain-lain kemudahan yang lebih baik.

Hari ini kita menyambut Hari Pekerja di dalam kekalutan Covid-19 yang membawa kesan yang amat besar kepada nasib golongan pekerja yang selama ini menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Pada masa ini sudah kedengaran berita-berita yang membimbangkan kita dengan penutupan banyak perniagaan-perniagaan yang terkesan dengan Covid-19 dan sudah pasti dalam masa yang sama ramai pula pekerja yang bakal hilang pekerjaan.

Kita berharap pihak kerajaan akan bersungguh-sungguh membantu segala kesusahan dan nasib yang dialami oleh golongan pekerja akibat dari kesan wabak Covid-19 ini. Jika kerajaan tidak dapat membantu mereka, siapa lagi yang dapat mereka harapkan.

Dalam masa yang sama kita harus akui bahawa tiada siapa samada majikan atau pekerja yang meminta untuk semua yang berlaku sekarang ini. Ia adalah masalah global yang menyebabkan kita turut terkesan.

Dalam usaha kita mengatasinya janganlah kita lupa untuk berdoa kepada Allah swt agar diberi bantuan dan pertolongan serta ditunjukkan jalan keluar terhadap kesulitan yang sedang kita alami sekarang ini.

Saya mewakili seluruh Ahlijawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Pekerja’ kepada semua golongan pekerja khususnya di sekitar kawasan Masjid Tanah dan amnya di Malaysia dan seluruh dunia. Andalah nadi ekonomi negara!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)