Home Kenyataan Media PAS Melaka

Perutusan Aidilfitri 2021 Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka

303
SHARE

Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum wbt.

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, kita diizinkan untuk menamatkan bulan Ramadan serta meraikan bulan Syawal tahun 1442 Hijrah.

Muslimin Muslimat yang saya hormati,

2. Andailah Ramadan ini Ramadan terakhir kita, adakah kita sudah melakukan amalan terbaik sepanjang bulan Ramadan yang telah meninggalkan kita ini? Dan apakah kita yakin kita dapat berada di bulan Ramadan yang akan datang?

3. Jadikan Ramadan sebagai medan muhasabah dan janganlah kita berputus asa daripada rahmat Allah SWT, serta marilah bersama kita kekalkan dan menambah baik amalan kita demi menggapai mardhatillah.

Muslimin Muslimat yang saya kasihi,

4. Tanpa kita sedari, Ramadan ini merupakan Ramadan kedua kita menjalani ibadah puasa dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya. Allah belum mengizinkan kemenangan justeru, Syawal ini kita berhari raya di rumah sahaja.

5. Jangan dilupa, ujian saudara kita di Palestin jauh lebih besar kerana mereka terpaksa menghadapi kezaliman zionis Yahudi dalam keadaan berpuasa dan ketidaksempurnaan menghidupkan malam mereka dengan solat sunat Tarawih yang diselang-seli ledakan senjata api.

6. Oleh demikian, seharusnya kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita berupaya menjalankan ibadah puasa dengan aman di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang teguh mempertahankan kesucian Islam dan institusi beraja di negara ini.

Muslimin Muslimat sekalian,

7. PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia, turut menzahirkan kesedihan terhadap isu kemanusiaan di Palestin dan sentiasa menunjukkan solidariti kepada mereka.

8. Saya menyeru supaya kita semua terus berdoa agar syariat Islam tetap teguh diperkasakan dan PAS sendiri tidak pernah jemu menegakkan syiar Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah demi kepentingan negara tercinta.

9. Akhir sekali, jangan lepaskan peluang untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal sebagai kayu ukur menilai tahap ketakwaan kita selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan.

“Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin”

#PilihUntukSelamat
#RayaDiRumah

HAJAH AZIAH BINTI MOHD SAAD
KETUA
Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .