Home Khas

Perutusan Aidiladha Mursyidul Am PAS 1442H

451
SHARE

PERUTUSAN AIDILADHA MURSYIDUL AM PAS 1442H

Pengorbanan Untuk Penyatuan Ummah

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلا ّاللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدّيْن

Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran dan pujian kepada Allah swt atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita disebalik ujian COVID-19 yang sedang kita alami pada ketika ini.

Dalam berdepan dengan situasi getir ujian COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia termasuk negara kita, adalah menjadi tanggungjawab kepada rakyat untuk bersatu padu dan bekerjasama berganding bahu melawan pandemik yang mengancam kehidupan ini. Pandemik yang tidak mengenal bangsa, agama, kaya mahupun miskin, menuntut semua pihak untuk mengenepikan perbezaan dan perselisihan demi negara yang tercinta.

Ianya memerlukan kepada pengorbanan yang besar bersesuai dengan intipati sambutan Hari Raya Aidiladha yang menuntut umatnya untuk mengorbankan haiwan ternakan sebagai manifestasi kepada kisah unggul keyakinan dan keimanan Nabi Ibrahim a.s menerima arahan Allah s.w.t untuk mengorbankan anak baginda Nabi Ismail a.s.

Sesungguhnya setiap kejayaan itu tidak diperolehi melainkan dengan pengorbanan dan perpaduan. Pengorbanan adalah merupakan satu bentuk usaha yang tertinggi dalam mencapai cita-cita yang murni. Perpaduan pula adalah kekuatan yang terpenting ketika berdepan apa jua situasi yang mencabar.

Kita sedang melalui proses Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh Kerajaan Malaysia dan pastinya tidak mungkin dijayakan melainkan kita sanggup melakukan pengorbanan besar iaitu dengan mengenepikan segala perbezaan, kepentingan diri dan cita-cita politik. Dan bagi mencapai kekuatan yang utuh dalam membina satu kesatuan fikiran dan tindakan, maka perpaduan sesama kita adalah elemen terpenting yang wajib dipenuhi.

Justeru itu, saya menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kumpulan politik untuk sama-sama kita menghayati dan mengisi semangat Pengorbanan dan Perpaduan dalam berperanan untuk memulihkan negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat Malaysia tercinta.

Tinggalkan budaya politiking yang boleh mengorbankan penyatuan ummah yang akibatnya terpaksa ditanggung oleh rakyat ketika suasana sukar pandemik seumpama ini. Carilah noktah noktah persamaan untuk memastikan negara ini dapat berhadapan dengan kemaraan Covid-19 yang tidak mengenal warna kulit, warna politik dan agama.
Hanya menerusi Pengorban dan penyatuan kita dapat mengharungi ujian ini dengan sabar dan teguh untuk Menang Bersama.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha 1442H kepada seluruh Muslimin dan Muslimah dan rakyat Malaysia amnya dan saya doakan agar Allah swt mengurniakan kekuatan dan mengangkat musibah ini daripada kita semua.

Hashim Jasin
Mursyidul Am PAS
19 Julai 2021 | 10 Zulhijjah 1442H