Home Khas

Pertemuan PM – Pembangkang : Hasil BPMS, demensi baharu politik Malaysia

329
SHARE

KENYATAAN MEDIA

PERTEMUAN PM-PEMBANGKANG:
HASIL BPMS, DIMENSI BAHARU POLITIK MALAYSIA

Pertemuan Dato’ Sri Ismail Sabri, Perdana Menteri bersama pemimpin pembangkang adalah seiring dengan titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar Ahli-ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati berusaha menangani COVID-19.

Dato’ Sri Ismail Sabri juga menyatakan tujuan pertemuan adalah mencari titik persamaan dalam agenda kebajikan rakyat dan memperkasakan urus tadbir negara.

Pendekatan PAS melalui Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) melihat suasana semak dan imbang yang diperanankan oleh pembangkang merupakan suatu budaya politik yang mesti diperkasakan. Segala tindakan kerajaan yang baik untuk negara didukung manakala yang salah diperbetulkan.

Budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian boleh diterjemahkan dengan penuh profesional secara berdiplomasi dengan pihak berkaitan bagi menangani sesuatu isu rakyat dan negara.

PAS berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara menjadi dimensi baharu bagi setiap bentuk sikap, pemikiran dan tindakan yang diterjemahkan oleh ahli-ahli politik. Jadilah pemimpin yang menjadi teladan kepada seluruh rakyat jelata.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

YB. Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Bertarikh: 26 Ogos 2021 bersamaan 17 Muharram 1443