Home Berita PAS Johor

Pertahankan perdamaian yang telah dibina

133
SHARE

Oleh : ABU HADIF

KULAI, 7 Nov : Dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden PAS semalam, perwakilan dari Johor telah menegaskan untuk PAS bersama mempertahankan pendamaian yang telah dibina.

Ustaz Mohd Ruslami Mohd Salleh yang mewakili perwakilan Johor sebagai pembahas Usul Terima Kasih dan Ucapan Dasar juga turut membacakan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 9,

(وَإِن طَاۤىِٕفَتَانِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِینَ ٱقۡتَتَلُوا۟ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَهُمَاۖ فَإِنۢ بَغَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا عَلَى ٱلۡأُخۡرَىٰ فَقَـٰتِلُوا۟ ٱلَّتِی تَبۡغِی حَتَّىٰ تَفِیۤءَ إِلَىٰۤ أَمۡرِ ٱللَّهِۚ فَإِن فَاۤءَتۡ فَأَصۡلِحُوا۟ بَیۡنَهُمَا بِٱلۡعَدۡلِ وَأَقۡسِطُوۤا۟ۖ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ)

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil,” terjemahan yang dibaca beliau.

“Adalah menjadi kewajipan untuk berusaha bagi mempersatukan dan mendamaikan dua pihak yang bertelagah sehingga perdamaian yang telah dibina harus dipertahankan, sesiapa yang melanggarnya, haruslah dihukum dengan adil.

“Pengadilan yang dimaksudkan adalah berdasarkan perundangan Syariat yang pastinya memberikan manfaat buat seluruh umat Islam dan rakyat sejagat, ” tegasnya.

Beliau juga memberi gambaran kisah sirah Nabawiyah dimana usaha Baginda SAW yang mendamaikan pertelingkahan di antara suku Aus dan Khazraj, Muhajirin dan Ansar, serta Peristiwa Pembukaan Mekah seharusnya menjadi panduan kepada semua tentang betapa pentingnya mendamaikan pihak yang bertelagah.

“Wadah perjuangan yang semakin luas membina banyak peluang kerjasama antara parti bagi pentadbiran negara, yang dapat mewujudkan had-had yang perlu dibatasi bagi menjamin Hal Ehwal Agama Islam dapat dijaga dengan baik.

“Pimpinan PAS di semua peringkat harus berjiwa besar mempertingkatkan kesabaran bagi mewujudkan perdamaian antara parti politik dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional,” ucap Ustaz Ruslaimi.

Beliau turut menambah untuk PAS sentiasa mengutamakan perundingan dan perbincangan antara parti secara Muwajahah Silmiah serta meneruskan program Jelajah Prihatin untuk mempertemukan pimpinan MN dan PN bagi mengukuhkan perpaduan.

Beliau juga mengajak pimpinan memanfaatkan peluang untuk menegakkan syiar Islam dan medium dakwah menerusi Menteri Agama, melalui Program Mantap iaitu Pemantapan Sistem Pendidikan Islam dan Pemantapan Institusi Masjid dan Surau.

Sesi perbahasan yang berlangsung turut disaksikan perwakilan dari seluruh negara secara dalam atas talian, dipancarkan langsung dari dewan Muktamar Tahunan PAS Pusat, di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.

Perwakilan dari seluruh kawasan Johor telah ditempatkan di Le Grandeur Palm Resort, Senai untuk mengikuti sesi Mukmatar pada kali ini daripada pagi semalam sehingga tengahari ini.