Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Pertahankan MATIN

1,281 views
SHARE

Sekali Serban Dililit. Siri 86

04 Rabiul Awwal 1439 / 23 November 2017

PERTAHANKAN MATIN

Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. Maahad Tahfiz Al Quran Imam An Nawawi(MATIN) menjadi perhatian umum mutaakhir ini ekoran daripada pendedahan beberapa agensi berita bahawa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIP) membuat report polis terhadap MATIN yang didakwa kononnya menghalang mereka menjalankan tugas.
2. Saya mengenali rapat Al Fadhil Ust Yussaine bin Yahya selaku Mudir MATIN malah memahami serta merasai perjalanan awal penubuhan MATIN. Bermula dari kelas yang hanya beroperasi di bangunan rumah teres yang kecil sehinggalah ia berkembang indah dan tersergam seperti adanya pada hari ini.
3. Tahniah dan sejuta kali tahniah atas lahirnya MATIN yang menjadi salah satu daripada pusat pengajian Islam yang sangat berjasa untuk mencetak ummah yang bertaqwa dan beramal soleh. sedang negara mendepani indek pencemaran aqidah dan akhlak yang parah.
4. Namun inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pusat pengajian Islam di Malaysia. Termasuklah pusat pengajian Islam yang berdaftar dibawah Parti Islam Se Malaysia. Tekanan dan ancaman datang dari segenap arah.
5. Semasa saya bertugas sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia beberapa tahun yang lalu, saya sendiri terpaksa berdepan dengan pihak kementerian, polis dan pelbagai agensi yang cuba untuk meng”haram”kan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang kini berkembang pesat di seluruh negara bagi memenuhi keperluan mendidik anak bangsa dengan cara hidup Islam.
6. Pelbagai fitnah dilemparkan kononnya pelajar PASTI diajar membenci pemimpin dan sebagainya. Beberapa kes PASTI telah diseret ke kamar perbicaraan di mahkamah. Alhamdulillah, sehingga kini PASTI terus bertahan dan dipertahankan oleh pencinta Islam di seluruh negara.
7. Realitinya, saya sendiri tidak memahami kenapa lah setengah pihak yang memiliki kuasa ini sangat cemburu dengan pertumbuhan pusat pengajian Islam. Sedangkan pertumbuhan pusat maksiat dan mungkar bagai cendawan tumbuh selepas hujan. ~Ternyata nasib pusat mungkar ini tidak seburuk nasib pusat pengajian Islam.~
8. Saya sangat yakin bahawa MATIN bukan kem yang melahirkan pengganas, bukan juga pusat yang menyebarkan ajaran sesat. Malah saya sendiri telah menyemak secara terperinci aktiviti, silibus, manhaj serta latar belakang dan pelan masa depan MATIN sewaktu saya mahu menempatkan salah seorang anak saya untuk menjadi penuntut ilmu di situ. Bahkan saya terus teruja dan berhasrat untuk menghantar beberapa lagi anak-anak saya ke MATIN setelah melihat perkembangannya.
9. Kehadhiran JAIP ke MATIN yang viral dan mencetus pelbagai sudut persepsi itu    bukanlah baru kali pertama. Terdahulu sebelum ini telah beberapa kali pagawai JAIP datang MATIN dan *nyata pihak MATIN telah memberi kerjasama yang baik.* Tetapi malang kali ini, kehadhiran bukanlah disifatkan untuk membantu MATIN sebaliknya membawa 1001 prasangka yang negatif kepada MATIN. 
10. Kononnya MATIN bergerak tidak mengikut lunas undang-undang dan sebagainya. Inilah alasan yang selalu digunakan untuk pihak berkuasa ambush pusat-pusat pengajian Islam. Saya yakin dan percaya MATIN telah mengambil segala prosedur yang menepati undang-undang malah pelajar MATIN tidak diajar menentang undang-undang.
11. Insyaallah, ummat Islam di Malaysia ini masih ada kewarasan serta kecintaan mereka terhadap Islam dan pastinya tidak akan membiarkan pusat-pusat pengajian Islam yang berkualiti seperti MATIN diserang,  diharam dan ditutup oleh mana-mana pihak yang mengalami sindrom “pusatpengajianIslamophobia”.
12. Saya tidak akan respon begini terhadap isu yang berlaku ini melainkan kerana saya faham isu yang berlaku, saya kenal siapa Ust Yussaine dan saya sebahagian daripada MATIN.

13. Ustaz Yussaine dan rakan-rakan pengusaha MATIN sebetulnya Insyaallah tidak berseorangan. Justeru saya menyeru semua pencinta Islam agar marilah kita berdoa agar isu ini diselesaikan dengan baik dan MATIN tidak dimangsakan.

Sejahtera Bersama Islam
Sekian.