Home Berita PAS Johor

Perkukuhkan ummah, daulatkan Islam

106
SHARE

 

Tebrau, 1 Ogos – Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tebrau yang berlangsung di TS Hotel Taman Scientex Pasir Gudang kelmarin telah mengangkat tema Perkukuh Ummah Daulatkan Islam untuk dihadam oleh setiap perwakilan dan diperturunkan ke cawangan serta dewan.

Yang di Pertua PAS Kawasan, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail yang juga merupakan Naib Ketua Dewan ’Ulamak PAS Pusat telah menyampaikan ucaptama dengan tema tersebut, justeru sebagai muhasabah terhadap Pilihanraya Negeri Johor baru-baru ini.

”Ketika parti-parti politik lain bergantung kepada kekuatan material, PAS mampu bertahan bertanding dengan sumber kewangan yang terhad. Walaupun difitnah dengan pelbagai tuduhan, hakikatnya perbelanjaan PAS ditanggung oleh ahli-ahli yang ikhlas memberikan sumbangan. Manakala jentera sumber manusia pula mampu bergerak berbekalkan janji-janji Allah bagi mereka yang berjuang.” ucap beliau di permulaan Ucaptamanya.

Menurut beliau juga, kekuatan tarbiyah rohani menjadikan jentera PAS orang yang sabar ketika memulakan kerja-kerja berkempen walaupun ada kekurangan yang terkadang menjadikan lemah dan hilang semangat.

Gerakerja calon PAS di Dun Tiram sewaktu Pilihanraya Negeri lalu juga amat mencabar apabila sebahagian besar pimpinan kawasan yang bersilih ganti menjalani kuarantin akibat jangkitan virus Covid-19.

Beliau yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor juga memberi taujihat kepada Perwakilan agar menguatkan kesabaran dengan memetik ayat Surah Baqarah; ayat 249 yang menyatakan bahawa berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah; Allah bersama orang-orang yang sabar.

Di dalam ucaptama tersebut juga, Ustaz Khir turut menyentuh cabaran dan strategi dalam menyantuni pengundi pertama kali (First Time Voter) yang majoriti terdiri daripada generasi muda di Parlimen Tebrau secara khusus. Seluruh peringkat petugas parti perlu menangani golongan ini yang fobia dengan politik, memisahkan politik daripada agama, sehingga mengambil sikap tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada negara, dan lebih malang boleh mengundang anasir luar menyusup masuk dalam pemikiran.

”Usaha yang menyeluruh perlu digerakkan dalam mengekang fahaman anti-Islam yang begitu berleluasa dalam masyarakat di negara ini. Siri-siri penghinaan terhadap agama Islam yang dilakukan secara terang-terangan perlu dibetulkan.” Ujar beliau.

Mesyuarat Agung Tahunan yang dihadiri 80 Perwakilan daripada 15 Cawangan dan 3 Dewan telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin.

Di dalam mesyuarat tersebut, satu usul daripada PAS Cawangan Kampung Kangkar Tebrau telah diterima tanpa bahas iaitu penyerahan memorandum berkaitan Enakmen penjualan minuman keras yang dilakukan secara terbuka di premis umum.

Perwakilan Dewan Pemuda, Mohd Amirul Mukminin menyokong penuh ucaptama Yang DiPertua dan menyatakan komitmen untuk menggerakkan jentera sayap muda PAS Tebrau itu. Beliau merangkumkannya di bawah usaha perkaderan dua golongan penyokong dan pendokong, serta suatu tindakan strategik yang lebih bersasar.

Menurut Mohd Amirul juga, melahirkan penyokong perlukan gerak kerja dakwah, dimana ia adalah strategi jangka masa pendek dan sederhana. Manakala untuk melahirkan pendokong perlukan kepada pemerkasaan tarbiyah, justeru ia merupakan strategi jangka masa sederhana dan panjang.

”Tindakan strategik pula adalah memastikan keutuhan urustadbir PAS di peringkat kawasan yang lebih cekap dan mapan dengan melahirkan murobbitun (ahli PAS yang bergerak kerja sepenuh masa dengan jemaah) dengan kecukupan fasiliti pentadbiran, gaji dan pemerkasaan organisasi.” ujar beliau mengakhiri perbahasan.

Sementara itu, Perwakilan Taman Puteri Wangsa, Ustazah Habibah Hussin menyeru agar usaha memupuk semangat perjuangan dalam kalangan anak-anak ahli PAS digerakkan seawal usia kanak-kanak. Penglibatan ahli keluarga dalam gerakerja perjuangan mesti dipandang serius dan diambil berat oleh semua ahli PAS.