Home Berita PAS Johor

Institusi pondok benteng pertahan Ahli Sunnah Wal Jamaah

145
SHARE

Oleh NAZIRUL MUNIR

KLUANG, 1 Ogos : Institusi Pondok merupakan benteng yang mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini dari diracuni fahaman songsang.

Demikian dinyatakan Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Azlisham Azahar sewaktu dihubungi wartawan PAS untuk mengulas kenyataan Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

“Dakwaan bahawa pondok berpotensi menjadi pusat ekstremisme adalah satu persepsi yang dangkal. Institusi madrasah dan pondok telah berjaya melahirkan ramai Alim Ulama’, Mufti, Ahli Majlis Fatwa, Pemimpin Negeri dan Negara dengan pengurusan dan pentadbiran yang lebih bersih dan amanah.

“Guru-guru pondok hampir kebanyakan mengajar tanpa gaji serta hampir sepenuh masa bersama dengan pelajar bagi memastikan para menjadi insan yang sentiasa mengikut alQuran dan asSunnah”, ujar beliau.

Tambah Ustaz Azlisham, pengajian pondok menekankan pembelajaran Agama disamping menekankan adab dan ibadah yang sangat tinggi.

“Pengajian pondok menekankan pembelajaran Agama terutama Tauhid, Feqah, Tasawuf dan sebagainya. Ditambah lagi dengan pembelajaran ilmu alat seperti bahasa arab dan ilmu Turath dari kitab-kitab karangan para ulamak yang muktabar,” tambah beliau.

Sebelum itu, Dr Mahmood Zuhdi telah mengeluarkan kenyataan lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremise.

“Nilailah dengan jujur dan adil tanpa prejudis yang boleh mencetuskan kegusaran dan konflik pertembungan dalam masyarakat yang akhirnya melemahkan negara.

“Saya menyarankan agar para cendekiawan dan masyarakat umumnya tidak meletakan pengajian pondok di sudut pandang negatif dengan hanya sekadar berpandukan beberapa kelemahan yang ada pada beberapa individu dari lepasan atau pelajar dan pengajar pondok.

“Jika mahu lebih jelas kebenaran saya sarankan Prof Emeritus berdialog mencari titik pertemuan dan persefahaman bersama tokoh-tokoh pondok di Malaysia demi kemakmuran dan kemajuan negara.

“Saya sebagai salah seorang warga pendidik dan pentadbir intitusi madrasah mengharapkan agar intitusi pondok terus subur dan berperanan mendidik dan membentuk masyarakat menjadi insan soleh dan solehah.,” jelas Ustaz Azlisham lagi.

Setakat ini terdapat 123 buah Madrasah Tahfiz dan hanya 16 buah pondok persendirian serta beberapa Sekolah Menengah Agama Kerajaan di seluruh Negeri Johor.