Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perkembangan Adik Khadijah

585
SHARE

21 Julai 2017, Sabah : Alhamdulillah, baru-baru ini Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) telah mendapat perkhabaran mengenai perkembangan adik Khadijah yang sebelum ini mendapat perhatian rapi daripada pihak LKK DMPM dan juga DMPN Sabah. Adik Khadijah yang sebelum ini dilaporkan sedang menderita mengalami Scoliosis (Tulang Belakang bengkok 70), Chiari Malformation (Tengkorak kepala turun & kedudukan tidak normal) dan Cecair tersekat dari otak ke saraf tunjang, memerlukan perbelanjaan pembedahan yang sangat besar.

Pihak LKK DMPM juga, dari masa ke semasa telah menghantar sumbangan kepada adik Khadijah untuk menampung sedikit perbelanjaan pembedahan beliau. Pada minggu yang lepas, sumbangan daripada orang ramai yang tidak putus disalurkan melalui LKK DMPM telah disampaikan oleh Puan Izzati selaku Pengerusi LKK DMPN Sabah yang datang menziarahi dan mengikuti perkembangan Adik Khadijah.

Turut hadir bersama dalam ziarah tersebut ialah Puan Norsah Bongsu selaku Ketua DMPN Sabah. Puan Norsah dalam ziarah tersebut telah menyatakan rasa syukur beliau melihat perkembangan positif Adik Khadijah. Kata beliau, ” Alhamdulillah perkembangan sangat baik. Khadijah baru jumpa Pakar Ortopedik kelmarin (19 Julai 2017). Pakar mengambil keputusan untuk membuat pembedahan seterusnya pada 17 Oktober 2017 ini, untuk melaraskan rod besi”. Menurut Puan Norsah lagi, “Pembedahan baru-baru ini hanya untuk tahan tulang belakang dari terus bengkok. In shaa Allah Oktober ini pakar akan cuba untuk luruskan sedikit demi sedikit”.

Selain itu kata Puan Norsah, Adik Khadijah sudah boleh berjalan tanpa kerusi roda dan mengharap pembedahan seterusnya juga tidak mengambil masa yang lama untuk Adik Khadijah bergantung kepada kerusi roda.

Namun begitu, menurut Puan Norsah perubahan tulang belakang sebenarnya tidak banyak yang berubah. Perubahannya hanya amat sedikit. Ini adalah kerana menurut pakar, pembedahan baru-baru ini hanyalah bertujuan untuk menahan ianya menjadi lebih teruk. Maka dengan sebab itulah, pembedahan seterusnya selepas ini akan dilakukan setiap selepas 6 bulan. Namun diawalkan dalam bulan Oktober, kerana pada masa itu nanti doktor pakar akan cuba untuk luruskan. Adapun semasa pembedahan baru-baru ini tidak dapat dilakukan kerana mengkhuatiri saraf tunjang akan tercedera.

Dengan ini, pihak LKK DMPM mengajak semua untuk terus mendoakan agar dipermudahkan segala urusan Adik Khadijah dan diberi kesembuhan yang sepenuhnya oleh Allah SWT. Inshaa Allah, semoga Adik Khadijah tidak lama lagi akan dapat menikmati hari-harinya seperti kanak-kanak lain.

Bagi mereka yang juga ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan untuk disampaikan kepada Adik Khadijah, LKK DMPM sentiasa bersedia membantu memudahkan niat murni kalian. Sumbangan bolehlah disalurkan ke akaun:

MAYBANK 5640 2540 0711 – Dewan Muslimat PAS Pusat

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada:

Dr. ‘Uyun : 019 – 357 7502
Puan Zurina : 014 – 306 9141
Saudari Zuriati : 019 – 204 9434
Saudari Oyeen : 019 – 590 2381

Semoga ianya menjadi saham terbesar kita di akhirat kelak. Jazakumullah khairan katheera.

Siiru ‘ala Barakatillah.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

 

{jathumbnail off}