Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Perkasakan Wanita Dengan Pendidikan

242
SHARE

Perkasakan Wanita Dengan Pendidikan

OLEH : ‘AISYAA YASMIN

KUALA LUMPUR : Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) serius dengan idea untuk memperkasa wanita di Malaysia dengan pendidikan berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat bagi mengangkat martabat wanita menurut Islam.

Umum mengetahui, kewujudan Akademi Pengajian Saidatina Aishah, APSA dan Taman Asuhan Tunas Islam, TASTI bawah kendalian DMPM menjadi titik tolak untuk Muslimat Malaysia menyebar luaskan agenda pendidikan ke seluruh negeri di Malaysia, yang mana APSA sebelum ini telah beroperasi di 10 buah negeri iaitu Pahang, Kedah, Perlis, Penang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah.

Selari dengan hasrat ini juga, DMPM berhasrat untuk memiliki aset tanah sendiri bagi membangunkan kompleks pendidikan kendalian APSA dalam jangka masa 10 kehadapan.

Demikian sebagaimana dipetik dari ucaptama Ketua DMPM, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh sempena Muktamar Dewan itu yang berlangsung bermula hari ini.

”DMPM menyedari usaha ini memerlukan tenaga dan kos yang sangat besar serta fasa demi fasa yang berperingkat-peringkat.

“Sokongan dan dukungan padu daripada saf kepimpinan PAS dan semua ahli Muslimat sangat diharapkan, di samping doa berterusan dalam munajat agar cita-cita ini menjadi realiti dalam tempoh sepuluh tahun ke hadapan.”

”Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati melancarkan dana pembangunan Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah fasa pertama yang melibatkan kos tidak kurang daripada RM 1 juta untuk proses pengurusan pembelian tanah seluas lebih 6.5 ekar,” ujarnya lagi.

Dalam nada sama, Lajnah Pendidikan PAS Pusat turut menyokong hasrat tersebut serta sedia memberikan komitmen dari segi idea dan kerjasama utuh bagi memastikan hasrat murni itu tercapai.