Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Muslimat Seru Eratkan Agenda Perpaduan Umat dan Politik

263
SHARE

Muslimat Seru Eratkan Agenda Perpaduan Umat dan Politik

Oleh: Shazweena Hani

KUALA LUMPUR : YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika ucaptama beliau di Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat Kali ke 60 menyatakan bahawa Islam dengan jelasnya mempunyai ajaran dan amalan yang konsisten dalam semua aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara atas dasar keadilan untuk semua.

Beliau turut menjelaskan konsep hijrah mempunyai matlamat yang besar dalam perpaduan iaitu memimpin manusia dari sikap jahiliyah kepada sinar cahaya Islam, menunaikan amanah dan membela mereka yang lemah walaupun bukan dari kalangan umat Islam.

“Malaysia merupakan sebuah negara masyarakat majmuk berbilang kaum dan anutan agama serta budaya terbentuk lebih 63 tahun lalu seharusnya sudah semakin matang dan kukuh perpaduan dalam kepelbagaian. Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Islam serta kebebasan anutan agama lain. Perlembagaan juga menjamin hak-hak istimewa bumiputra dan pribumi Sabah dan Sarawak tanpa meminggirkan hak-hak kaum lainnya,” kata beliau lagi.

Beliau selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) turut mengimbau sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia melalui usaha keras nenek moyang kita yang perlu dipandang tinggi dan dipertahankan.

“Agenda perpaduan mestilah bermula dari dalam iaitu persis perpaduan dalam jemaah, diikuti pula perpaduan umat dan perpaduan agenda politik melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Semestinya Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional adalah salah satu platform politik yang menggunakan peranan Islam dalam pembangunan negara yang makmur dan lestari,” ujar beliau di Hotel Premiera Kuala Lumpur, Menara MARA Kuala Lumpur.