Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Perkasakan Institusi Tabung Haji

938
SHARE

PERKASAKAN INSTITUSI TABUNG HAJI

1. Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji (TH) telah mengumumkan jumlah Hibah bagi simpanan tahun 2018. Jumlah hibah yang telah diumumkan adalah sebanyak 1.25% sekaligus mencatatkan jumlah terendah sejak penubuhannya.

2. Pengumuman hibah ini sangat mendukacitakan bagi kebanyakan pendeposit TH. Namun dari satu sudut lain, wang simpanan pendeposit masih dalam keadaan selamat dan terjamin, juga sedikit sebanyak memberikan nilai tambah kepada para pendeposit yang kesemuanya umat Islam.

3. Saya menyeru kepada seluruh umat Islam agar bertenang dan terus memberi kepercayaan kepada TH dan tidak mengeluarkan wang yang disimpan didalam akaun TH secara terburu-buru.TH merupakan aset terbesar yang telah memberi keuntungan kepada umat Islam di Malaysia selama beberapa dekad. Maka kerajaan harus peka dan berhati-hati dalam membuat keputusan dan pengumuman berkaitan TH. Ini kerana sebarang kesilapan bakal menghilangkan keyakinan pendeposit dan bakal memberi impak negatif dalam pelaburan TH sendiri.

4. DUPP juga ingin memberi peringatan kepada Menteri dan kepimpinan PH agar tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan yang boleh membawa kepada panik atau salah tafsir oleh pihak media. Adalah lebih baik kenyataan rasmi berkaitan TH dikeluarkan oleh pengurusan TH sendiri. Sepatutnya kerajaan PH perlu memberi fokus untuk mengembalikan fungsi asal TH iaitu memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.

“Islam Memimpin”

“Islam Jalan Penyelesaian”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED*
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat