Home Uncategorized

Perintah Kawalan Pergerakan Usaha Kekang Covid-19 Tular: Tindakan Wajar dan tepat

458
SHARE

KENYATAAN RASMI BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH

22 Rejab 1441H
17 Mac 2020M

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN USAHA KEKANG COVID-19 TULAR;
TINDAKAN WAJAR DAN TEPAT

  1. Meneliti ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkembangan penyakit pandemik Corona Virus yang turut melanda Malaysia, PAS Kedah juga turut sama merasai kebersamaan bertanggungjawab bagi menyokong usaha menanganinya.
  2. Kini jumlah individu dijangkiti wabak sebanyak 553 orang; seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.
  3. Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.
  4. PAS Kedah juga turut menyokong penuh Perintah Kawalan Pergerakan serta semua usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia seperti diumumkan oleh Perdana Menteri.

Sehubungan itu, semua aktiviti parti ditangguh sama ada di premis parti, seluruh pusat pendidikan PAS di semua peringkat turut ditutup bermula 18 Mac 2020.

  1. Semoga tindakan segera kerajaan ini wajar dan tepat serta di masa sama, Allah SWT memakbulkan semua doa agar ancaman Covid-19 dapat dielakkan. Aamiin.

‘ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN’

Salam Hormat,
Ustaz Haji Ahmad Yahaya,
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah,
Alor Setar.

*Dilampirkan semua usaha kerajaan seperti pengumuman perdana menteri:

Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.
Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.
Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.
Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.
Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;
Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.