Home Setiausaha Agung PAS

Perdana Menteri ‘Sementara’ Bukan Amalan Yang Sihat

1,398 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT
PERDANA MENTERI ‘SEMENTARA’ BUKAN AMALAN YANG SIHAT

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengganggap amalan baru sesetengah parti politik di Malaysia melantik Perdana Menteri ‘Sementara’ jika menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU 14) adalah suatu amalan yang tidak sihat dan tidak berperlembagaan.

2. Proses melantik Perdana Menteri adalah suatu perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43 sebagaimana berikut:

43. (1) Yang di-Pertua Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam perjalanan fungsinya.

(2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu;

(a) Yang di-Pertua Agong hendaklah dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;

Perkara 40 Fasal 2 pula memperuntukkan kuasa prerogatif Yang Dipertuan Agong dalam hal perlantikan Perdana Menteri, tanpa perlu bertindak mengikut nasihat mana-mana pihak, iaitu sebagaimana berikut;

40. (2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu;

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

3. Berdasarkan peruntukan-peruntkan di atas jelaslah bahawa selepas PRU 14, Yang Dipertuan Agong boleh menggunakan ‘hak istimewa’ Baginda untuk melantik seorang daripada 222 orang Ahli Parlimen Malaysia yang pada ‘hemat’ Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu. Adalah menjadi amalan di Malaysia Perdana Menteri akan dilantik dari kalangan Pemimpin parti yang mendapat majoriti kerusi di Parlimen.

4. Namun demikian, sekiranya berlaku suatu keadaan selepas sesuatu PRU di mana tidak ada satu Parti yang memperolehi majoriti ataupun bilangan kerusi yang diperolehi masih gagal membentuk kerajaan, PAS berpandangan pada masa tersebut Yang DiPertuan Agong akan menggunakan prerogatif Baginda untuk memilih sama ada dari Parti majoriti mahupun minoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

5. Walau apapun keadaannya, PAS berpandangan Perdana Menteri ‘locum’ bukanlah amalan yang baik dan tidak mencerminkan Kerajaan yang di’pimpin’nya sebuah Kerajaan yang stabil dan kuat.

Terima kasih.

Dato’ Takiyuddin Hassan,
Setiausaha Agung.

Bertarikh : 29 Disember, 2017