Home Berita PAS Kedah

Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan Dewan-Dewan dan Cawangan-Cawangan PAS Kawasan Langkawi

89
SHARE

Oleh SHAKIRAH AZIZAN

LANGKAWI – PAS Kawasan Langkawi telah mengadakan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan-Dewan dan Cawangan-Cawangan di seluruh kawasan langkawi bagi tahun 2022 sesi 2021/2023 bertempat di Hotel HIG, Kuah.

Majlis perasmian (MAT) kali ini sangat istimewa kerana berlaku secara serentak dan hadirin dapat mendengar ucapan dan perasmian oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Yang Berhormat Senator Dato’ Haji Ustaz Ahmad Yahaya.

 

YB Dato’ Haji Ustaz Ahmad Yahaya mengucapkan terima kasih kepada PAS Kawasan Langkawi untuk adakan majlis ini atas tuntutan perlembagaan dapat bertemu semula setelah PKP 2 tahun.

“Ada medan pertemuan untuk kukuhkan ukhwah. Kita bersyukur dapat kembali berjumpa seperti ini, untuk kita tautkan kembali ukhwah persaudaraan di antara kita,” katanya.

 

Ustaz Ahmad Yahaya mengingatkan semua hadirin untuk urus organisasi cawangan, siap jentera seluruh peringkat, laksana arahan yang diberi, dekati santuni rakyat, dan sampaikan maklumat.

“Dengar orang cerita tak betul, kita perbetul, sekiranya kita tak ada maklumat, kita tanya orang yang ada maklumat,” tambahnya.

Di akhir ucapan beliau, Ustaz Ahmad Yahaya turut mengucapkan tahniah kepada kawasan dan cawangan-cawangan melaksanakan mesyuarat agung dan melaksanakan tugas arahan selepas ini.

Manakala Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad menyeru agar hadirin beriman dengan ayat 178 dan 183 dalam surah al-Baqarah. “Kedua-dua ayat al-Quran itu menyebut kalimah “kutiba”. Dan kedua-duanya membawa makna perintah Allah. Perintah Allah dalam fiqh ibadat iaitu puasa  dan dalam fiqh jinayat iaitu qisas”.

Tambah beliau lagi, “jangan kita hanya ikuti perintah Tuhan dalam bab puasa semata-mata dan tidak ikuti perintah Tuhan dalam bab qisas”.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Mazlan Ahmad, Ketua Dewan ulamak PAS Kawasan Langkawi, Ustaz Mohd Shazuri Saad, Ketua Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi, Muhammad Akashah Azinan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Langkawi, Ustazah Fatimah Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Harian, Ketua-Ketua Cawangan, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi dan  Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Langkawi.