Home Berita PAS Kelantan

Perantau Kelantan di Shah Alam berterima kasih kepada YB Fathan

198
SHARE

SELANGOR, 26 Dis: Perantau dari Pengkalan Chepa di Selangor bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan misi kemanusiaan pasca banjir yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, YB Ahmad Fathan Mahmood.

Penghuni perumahan Taman Seri Muda, Shah Alam, Wan Zakari Wan Ismail dan rakan-rakan senegeri yang menetap dan bekerja di sini, terharu menerima bantuan tersebut dan menyifatkan khidmat bakti YB Fathan itu amatlah terpuji dan membuktikan beliau wakil rakyat yang benar-benar prihatin dan bertanggungjawab.

“Bukan keluarga kami di Chempaka sahaja dibantu, sampai ke Shah Alam pun YB Fathan datang berkhidmat kepada rakyat Kelantan. Kami bersyukur mendapat pemimpin yang memahami kesusahan rakyat dan sanggup membantu meringankan beban”, katanya.

Sementara itu, YB Fathan yang juga Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) memaklumkan lokasi bantuan pasca banjir di Selangor bertumpu kepada rumah anak Kelantan di perantauan sekitar Shah Alam yang ditenggelami banjir sampai ke siling.

“Keseluruhan barang di dalam rumah rosak teruk dan anggota sukarelawan bergotong-royong membersihkan rumah dan persekitaran taman perumahan serta kawasan rumah pangsa berdekatan tanpa mengira bangsa dan agama bermula pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, semalam dan hari ini”, katanya.