Home Berita PAS Kelantan

Perangi tabiat merokok di Kelantan

577
SHARE

KOTA BHARU- Tahap yang agak membimbangkan apabila kira-kira 24.6 peratus jumlah perokok dikenalpasti di negeri ini menerusi kajian kesihatan yang dijalankan pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) Negeri, Datuk Dr Ramli Mamat berkata, berdasarkan data tersebut, pihaknya kini mengadakan pengistiharan Zon Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (Ikbar) sebagai kawasan larangan merokok.

“Seboleh-bolehnya kita mahu wujudkan persekitaran kawasan 100 peratus bebas dari asap rokok, sekaligus memastikan masyarakat Kelantan dilindungi daripada kesan asap rokok.

“Sebanyak 24 kawasan terpilih di negeri Kelatan diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuk di Pasar Siti Khadijah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan MajlisPerisytiharan Zon Ikbar Sebagai Kaaasan Larangan Merokok 2017, di Pasar Siti Khadijah, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir; Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Abd Rahman Yunus; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Zamri Ismail; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Dr Selasawati Ghazali; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Razmin Ramli mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Pengerusi Persatuan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (USM) (FAMOUS).

Dr Ramli berkata, usaha Ikbar adalah bagi memastikan rakyat Kelantan bebas dari kesan asap rokok yang boleh memudaratkan kesihatan.

“Sebenarnya usaha ini sudah bermula sejak 2013 lagi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, FAMOUS, Persatuan Amal Perubatan Ibu Sina Malaysia (Papisma), Persatuan Kesihatan Awam Kelantan (PKAK), MySihat dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), cuma tidak diperkasakan lagi.

“Sekarang ini, tempoh memberi pendidikan kepada perokok tegar, yang mana perokok menghisap rokok di kawasan larangan, PBT di daerah-daerah akan beri amaran,” katanya

Katanya, penguatkuasaan penuh akan dilakukan pada 1 Januari 2018, dengan penegasan, perokok yang masih merokok di tempat larangan Ikbar, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. SINAR HARIAN