Home Berita PAS Melaka

Perang siber | Amilin PAS perlu perkasakan maklumat – Siti Salwani

134
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 21 Jun : Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Melaka, Siti Salwani Mohd Kassim berpendapat bahawa ahli PAS perlu memperkasakan maklumat dalam berdepan serangan terhadap PAS di media sosial.

“Saya setuju dengan saranan Naib Presiden PAS, YB Senator Ustaz Idris Ahmad supaya amilin PAS banyak membaca fakta dari sumber yang benar dan tepat supaya ada isi untuk ditulis di dalam hujah bagi mematahkan serangan ‘cyber trooper’ pihak lawan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) bagi mengulas berkenaan Konvensyen Penerangan Dan Media Baharu PAS Pusat yang berlangsung secara maya pada 18 dan 19 Mac lepas.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka menambah, usaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat menganjurkan konvensyen ini khususnya untuk menyampaikan mesej penerangan di setiap peringkat adalah sesuatu yang penting dan tepat pada masanya untuk meningkatkan kesiapsiagaan amilin PAS.

“Memang saya secara peribadi melihat kecenderungan ahli-ahli PAS untuk menyebarkan maklumat parti di media sosial belum mencapai tahap yang sepatutnya.

“Sementelah lagi dengan keadaan negara yang mungkin akan menghadapi pilihan raya umum yang lebih awal, tindakan drastik mengubah ahli-ahli PAS untuk bangun bertindak sekurang-kurangnya sebagai ejen penerangan perlu dipergiatkan di peringkat negeri dan kawasan bagi memastikan maklumat yang tepat sampai kepada masyarakat,” ujar beliau.

Program Konvensyen Penerangan dan Media Baharu ini disertai oleh jentera Penerangan PAS seluruh Malaysia dan turut disertai oleh pimpinan utama PAS negeri-negeri.

Ucapan penutup bagi program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man manakala beberapa orang pimpinan PAS Pusat turut menyampaikan amanat pada program tersebut antaranya Naib Presiden PAS, YB Senator Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.