Home Berita PAS Melaka

‘Kita semua ejen penerangan’, wujudkan gelombang informasi- Anuar Ibrahim

124
SHARE

Oleh IBNATDEEN

TANGGA BATU, 21 Jun : Semua ahli dan penyokong PAS mesti bergerak ke arah prinsip ‘kita semua ejen penerangan’ demi mewujudkan satu gelombang informasi.

Realiti semasa memperlihatkan kepesatan teknologi menyumbang kepada capaian maklumat sehingga menyebabkan pertembungan antara maklumat yang benar dengan sebaran dakyah dan juga fitnah.

Demikian respons Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu, Md Anuar Ibrahim ketika diminta mengulas tentang penganjuran Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat yang diadakan secara dalam talian pada 18 dan 19 Jun baru-baru ini.

Tegas beliau, apabila semua ahli dan pimpinan PAS bertindak sebagai ejen penerangan parti maka sikap peduli dan rasa bertanggungjawab perlu disemai supaya maklumat-maklumat yang benar dan informasi-informasi sahih berkenaan pimpinan dan parti dapat disampaikan kepada masyarakat.

“Dengan mewujudkan gelombang maklumat, barulah PAS dilihat dapat menjadi peneraju dalam menawarkan solusi dan penyelesaian kepada semua permasalahan sama ada kepada permasalahan dan isu-isu rakyat mahupun negara.

“Baca, kemudian ‘share’ terhadap artikel-artikel informatif mampu menangkis serangan media yang bertali arus,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, info-info yang benar perlu disebarluaskan memandangkan situasi pada hari ini terdapat banyak isu-isu picisan yang bersifat negatif lebih mendominasi sehingga membentuk tanggapan yang salah dalam kalangan masyarakat.

“Kebenaran sesuatu maklumat tidak akan mampu mengalahkan sebaran dakwah dan fitnah jika tidak disebarluaskan,” kata Anuar lagi ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semalam.

Beliau dalam ulasannya turut menyeru agar semua ahli PAS dapat sama-sama menyambut baik seruan untuk mendapatkan informasi, maklumat dan berita yang benar daripada medium parti seperti Harakahdaily serta kenyataan -kenyataan yang dikeluarkan daripada akaun media sosial rasmi pimpinan parti.