Home Berita PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam Siri-2 | Nisbah kewangan yang sihat

887
SHARE

Bersama perunding anda :

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen


JIKA tahap kesihatan seseorang boleh diukur melalui beberapa parameter seperti ‘Body Mass Index (BMI)’, kandungan kolesterol, gula, asid urik dan sel darah putih dalam darah dan banyak lagi, tahap kesihatan kewangan seseorang juga boleh diukur melalui beberapa parameter yang dikenali sebagai ‘Nisbah Kewangan’ (Financial Ratio).

Nisbah kewangan yang pertama ialah Nisbah Kecairan Asas (Basic Liquidity Ratio). Ianya ialah ‘jumlah tunai’ atau ‘hampir tunai’ dibandingkan dengan perbelanjaan bulanan seseorang. Ia memberitahu kita berapa lamakah wang kita akan dapat bertahan jika kita tidak lagi boleh bekerja atau hilang sumber pendapatan secara tiba-tiba kerana kemalangan, sakit, ataupun Perintah Kewalan Pergerakan seperti yang berlaku baru-baru ini akibat pandemik covid19. Nisbah Kecairan Asas yang sihat mestilah sekurang-kurangnya enam bulan ataupun lebih. Dana ini juga dikenali sebagai ‘Dana Kecemasan’.

Kajian juga menunjukkan 75 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai ‘Dana Kecemasan’ yang cukup.

Nisbah kewangan yang kedua ialah Nisbah Hutang Terhadap Aset (Debt To Asset Ratio). Ianya menunjukkan bahawa jika seseorang itu mencairkan semua aset miliknya, adakah dia mampu untuk menjelaskan semua hutangnya. Nisbah Hutang Terhadap Aset yang ideal tidak boleh melebihi 50 peratus. Seseorang perlu mengelakkan membuat terlalu banyak hutang pada satu-satu masa.

Nisbah Kewangan yang ketiga ialah Nisbah Aset Cair Terhadap Nilai Aset Bersih (Liquid Asset To Net Worth Ratio) seseorang individu. Ia memberitahu berapa peratus daripada Nilai Aset Bersih seseorang adalah dalam bentuk tunai. Nisbah Aset Cair Terhadap Nilai Aset Bersih yang sihat mestilah melebihi 50 peratus.

Ramai di antara individu berpendapat bahawa memiliki ‘aset tak alih’ yang banyak merupakan suatu kelebihan. Tetapi sebenarnya ‘aset tunai’ adalah amat penting untuk kita melangsungkan kehidupan kerana ‘aset tak alih’ tidak dapat dicairkan dengan cepat ketika kita memerlukan wang. Terdapat individu yang memiliki ‘aset tak alih’ bernilai jutaan ringgit tetapi terpaksa meminjam wang kerana tidak dapat menjual aset-aset mereka ketika mereka ketandusan wang tunai untuk meneruskan kehidupan terutamanya setelah bersara. Kita tidak mahu situasi seperti ini terjadi kepada kita.

Nisbah kewangan yang keempat dan terakhir ialah ‘Nisbah Simpanan’ (Saving Ratio). Ia merujuk kepada jumlah wang yang disimpan daripada pendapatan kasar seseorang tidak termasuk simpanan wajib seperti KWSP. ‘Nisbah Simpanan’ yang sihat mestilah melebihi 20 peratus daripada jumlah pendapatan kasar seseorang.

Jom periksa adakah nisbah kewangan kita berada di dalam keadaan yang sihat atau sebaliknya. Hubungi Perunding Kewangan anda hari ini untuk mendapatkan nasihat kewangan yang betul.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)