Home Artikel PAS Sabah

Kerjasama PAS dan JKM bantu warga emas Tiong Hua daif

269
SHARE

Oleh : Salmiah Sappe
14 Ogos 2020

BATU SAPI : PAS Batu Sapi dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sandakan telah menyantuni empat orang warga emas berketurunan Tiong Hua yang hidup daif di rumah mereka di Kampung Kombo, dekat sini, Rabu lalu.

PAS Batu Sapi telah diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu sementara JKM Sandakan pula diwakili oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Sandakan, Rodin Suri Arif.

Menurut Norsah yang juga Naib Yang Dipertua PAS Batu Sapi, keempat-empat warga emas ini mendiami rumah yang usang dan memerlukan bantuan untuk dibaikpulih selain mengharapkan bantuan sara hidup bagi menampung keperluan harian mereka.

“Walaupun berbeza agama dan bangsa namun PAS tetap hadir menyantuni mereka kerana Islam tidak pernah menyisihkan masyarakat yang bukan seakidah dalam memberi kebajikan,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKM kerana bertindak pantas dan efisien dalam menyelesaikan isu kebajikan yang dihadapi oleh penduduk Sandakan seperti kes ini.

Sementara itu, Rodin berkata phiaknya akan cuba membantu keluarga berkenaan dan mengkaji semula maklumat yang diperolehi bagi memastikan mereka layak menerima bantuan daripada pihak JKM.

PAS Batu Sapi dalam siri ziarah tersebut turut menyampaikan beberapa set keperluan barangan dapur seperti beras, minyak, gula, biskut dan tepung kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban hidup mereka.