Home Berita PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam | 12 Virus Kewangan yang kita harus tahu.

477
SHARE


Bersama perunding anda:

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen

MUSIM pandemik begini, kita begitu takut dengan virus yang bernama Corona atau Covid-19. Namun kebanyakan kita tidak ataupun kurang sedar bahawa sebenarnya wang kita juga sentiasa terdedah kepada serangan virus yang boleh membawa kepada ‘penyakit kewangan’ jika kita tidak melindunginya.

Berikut adalah 12 virus kewangan yang perlu diambil perhatian bagi melindungi wang anda:

Virus yang pertama ialah inflasi. Virus ini akan menyusutkan nilai wang anda jika anda tidak melakukan sesuatu untuk mengatasinya. Vaksinnya mudah sahaja. Simpan wang anda di tempat-tempat yang memberi pulangan lebih tinggi daripada kadar inflasi. Saham amanah patuh syariah adalah antara tempat yang terbaik untuk anda mengelak daripada dijangkiti virus ini.

Yang kedua ialah ‘scam’. ‘Scam’ ataupun skim-skim penipuan kewangan telah wujud sejak zaman-berzaman. Kenali ciri-ciri ‘scammer’ untuk mengelak daripada ditipu. Pastikan anda berurusan dengan mereka yang berkredibiliti dan berintegriti sahaja. Elakkan sifat tamak dan terburu-buru.

Virus kewangan yang ketiga pula ialah membeli barang-barang yang tidak diperlukan hanya kerana harga yang murah. Virus ini biasanya menyerang semasa musim jualan murah. Asalkan ada diskaun sahaja terus beli, terutamanya apabila membeli-belah di platform dalam talian – hanya perlu klik untuk memilih dan membayar. Sedar-sedar, duit di dalam akaun bank telah habis!

Mereka yang telah dijangkiti virus jenis ini mengggunakan slogan ‘biar menyesal beli, jangan menyesal tak beli’. Mungkin rawatan yang paling ampuh untuk virus jenis ini ialah dengan memadamkan sama sekali aplikasi beli-belah dalam talian daripada telefon pintar anda sehingga anda benar-benar pulih dan boleh mengawal diri daripada dijangkiti semula.

Yang keempat ialah keluar membeli barang keperluan rumah dan barang dapur tanpa senarai. Virus ini biasanya aktif di pasar raya. Segala yang melintas di hadapan mata terasa perlu dimasukkan ke dalam troli!

Senarai barangan dapur dan barang keperluan rumah yang perlu dibeli adalah penting sebagai vaksin kepada virus ini. Dengan adanya senarai itu, kita hanya akan membeli barangan yang diperlukan sahaja.

Virus yang kelima ialah ‘belanja dahulu, simpan kemudian’. Kesan daripada virus ini ialah seseorang itu akhirnya tidak mempunyai simpanan langsung. Penyakit ini akan bertambah serius apabila anda mengalami keadaan kecemasan yang memerlukan wang segera seperti hilang pekerjaan, sakit, kemalangan dan sebagainya.

Sudah tentu vaksinnya ialah dengan mengenepikan 20 peratus daripada pendapatan anda sebagai tabungan. Anda boleh membelanjakan yang selebihnya untuk keperluan bulanan anda.

Virus keenam ialah boros. Virus jenis ini boleh diatasi dengan vaksin-vaksin yang telah disenaraikan di nombor 3, 4 dan 5. Insya-Allah berkesan!

Seterusnya, virus kewangan ketujuh, suka berhutang. Antara virus kewangan yang paling merbahaya ialah hutang peribadi, iaitu hutang dengan individu ataupun ah long. Virus ini bukan sahaja membawa mudarat kepada yang masih hidup, malah kesannya dapat dirasakan setelah mati sehingga ke akhirat jika gagal dilangsaikan.

Analisa dulu kedudukan kewangan anda sebelum berhutang untuk memastikan anda mampu membayar hutang tersebut sebelum ianya dibuat bagi menyelamatkan diri dan keluarga anda daripada ancaman bahaya.

Sebaiknya, dapatkan khidmat pinjaman daripada institusi kewangan yang sah seperti perbankan Islam kerana mereka akan benar-benar menilai kelayakan anda sebelum meluluskan pinjaman anda.

Yang kelapan ialah menggunakan kad kredit tetapi tidak membayar sebelum tarikh akhir setiap bulan. Antara pekerjaan syaitan ialah membisikkan agar anak Adam melengah-lengahkan sesuatu perbuatan yang baik. Pastikan yang anda benar-benar berdisiplin membayar jumlah kredit yang telah anda gunakan sebelum tarikh akhir setiap bulan. Jika tidak, gunalah kad debit sahaja.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2623 bertarikh 8 Februari 2021.

 

Virus kesembilan pula ialah ‘tawakal tanpa ikhtiar’. Ramai yang menyangka mereka kebal daripada penyakit, kemalangan dan kematian. Sifat tawakal yang terlalu tinggi tanpa ikhtiar bukanlah daripada ajaran Islam.

Rasulullah (saw) pernah bersabda yang mafhumnya “Tambatlah untamu, kemudian bertawakal kepada Allah.” Pepatah Melayu juga ada menyebut ‘sediakan payung sebelum hujan.’ Perlindungan Takaful adalah vaksin yang sangat diperlukan bagi menghadapi saat-saat yang sukar.

Pelan-pelan Takaful memang tidak akan membuatkan anda kaya, namun ia mampu meringankan beban anda ketika anda benar-benar memerlukannya.

Yang kesepuluh, tiada dana kecemasan. Ada segelintir masyarakat yang mengenepikan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk tujuan pelaburan, tetapi bukan dalam bentuk aset tunai. Mereka lebih suka mengumpul aset lain seperti rumah dan tanah.

Tidak salah memiliki aset hartanah, akan tetapi, setiap individu perlu memiliki dana kecemasan dengan jumlah sekurang-kurangnya bersamaan dengan enam bulan perbelanjaan. Sebaik-baiknya, nilai aset tunai anda mestilah melebihi 50 peratus daripada nilai bersih anda.

Virus kewangan yang kesebelas ialah hutang lapuk. Selain membahayakan orang yang berhutang, pemiutang juga akan mengalami kesan yang negatif daripada virus ini. Bayangkan, jika yang berhutang berjanji untuk membayar hutang mereka dalam masa satu bulan, akan tetapi menjadi bertahun-tahun lamanya. Si pemiutang mungkin amat memerlukan wang tersebut untuk keperluan diri dan keluarganya, namun menjadi mangsa kepada janji palsu.

Elakkan memberi hutang kepada individu tanpa meminta bukti-bukti yang sahih dan munasabah bahawa mereka boleh membayar hutang tersebut dalam jangka waktu yang dijanjikan. Pastikan juga setiap hutang yang diberi ada rekod, perjanjian bertulis dan saksi yang adil.

Dan virus yang kedua belas dan terakhir sekali ialah tiada maklumat. Dapatkan maklumat yang sahih sebelum anda membuat sebarang keputusan kewangan. Tanpa maklumat, anda terdedah kepada penipuan dan mungkin mengambil pelbagai tindakan yang merugikan anda. Banyakkan membaca dan dapatkan maklumat daripada mereka yang bertauliah dalam bidang kewangan.

Penulis adalah perunding kewangan berlesen dan ahli Grup Penulis PAS Melaka.

Gerai hadapan Taman Bunga Raya Seksyen-3 dan Klinik Munshi, Bukit Beruang Melaka. Tempahan Whatsapps : +60136315113

Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN – Bahrum : 011-16964842