KOTA BHARU, 10 Jan: Kerajaan Negeri Kelantan amat menghargai peranan pengamal media elektronik dan cetak dalam membantu menyebarkan maklumat semasa. Oleh itu, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan memanfaatkan permulaan tahun 2022 untuk merai petugas media sekali gus membuka ruang komunikasi dua hala di antara Kerajaan Negeri dan media.
Pengarah UPKN, YB Ahmad Fathan Mahmood berkata, amatlah penting bagi kedua-dua pihak memelihara hubungan baik secara profesional untuk manfaat bersama yang pasti memberi impak positif kepada kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
“UPKN selaku agensi media rasmi Kerajaan Negeri Kelantan mewakili Kerajaan Negeri mengambil peluang meraikan dan menghargai peranan petugas media. Oleh itu, kita harap sesi dialog berkonsep keluarga (anak-beranak) dapat membuka ruang komunikasi dua hala yang lebih kondusif di antara Kerajaan Negeri dan semua pengamal media di Kelantan”, katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Malam Mahabbah Media 2022 di Hotel Grand Renai, semalam.
Sementara itu, menerusi sesi dialog khas pemimpin dan media, Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berharap kerjasama pihak media untuk melaporkan berita projek infrastruktur berimpak tinggi di Kelantan yang sedang rancak dilaksanakan supaya seluruh rakyat tempatan dan masyarakat luar tahu tentang kemajuan Kelantan yang pesat membangun.