Home Berita PAS Kelantan

Peperiksaan UPKK 2020/21 ditangguh, ambil kira situasi semasa Covid-19

260
SHARE

Oleh CHE MAZIAH MAT

KOTA BHARU, 7 Sept: Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa Pandemik COVID-19 khususnya daripada aspek keselamatan murid dan petugas peperiksaan.

Dalam satu kenyataan bertulis berkenaan pelaksanaan ujian penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021, seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan pada 15 Ogos lalu telah membuat keputusan berkaitan pembukaan sesi persekolahan pada 3 Oktober kelak secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan mengikut perincian Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selaras dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah membuat keputusan untuk pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK akan bermula pada tarikh yang sama mengikut ketetapan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Idris Ahmad berkata, keputusan ini diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin serta persediaan pusat peperiksaan dapat dilakukan dengan kemas.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membuat keputusan peperiksaan UPKK bagi tahun 2021 bagi subjek bertulis yang telah dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu 15 hingga 18 November nanti.

Walau bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga optimis dengan usaha kerajaan pada ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok dan memutuskan petugas peperiksaan yang lengkap dua dos sahaja dibenarkan bertugas.