Home Berita PAS Kelantan

Penyumbang zakat adalah hero sebenar rakyat – Tengku Temenggong

93
SHARE

Oleh CHE MAZIAH MAT

KOTA BHARU, 25 Ogos: Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sentiasa mengorak langkah yang proaktif dan progresif bagi menjayakan perancangan yang telah disusun rapi dalam memastikan hasil terimaan zakat terus konsisten membantu asnaf fakir miskin dan mualaf.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, semua perbelanjaan ini dapat disempurnakan atas komitmen semua penyumbang daripada pelbagai pihak.

“Para penyumbang ini adalah hero sebenar kepada rakyat Kelantan, MAIK ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar zakat, penyumbang baitulmal, pewakaf serta bantuan lain,” katanya ketika membentangan laporan khas terimaan dan perbelanjaan MAIK bagi separuh tahun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, semalam.

Menurutnya, bagi perbelanjaan program asnaf fakir dan miskin tahun ini yang diagihkan bermula Januari hingga Jun telah mencatatkan pecahan terbesar dalam program agihan zakat berjumlah RM 30,299,772.00 berbanding tahun lalu RM 48,188,874.00.

Jumlah agihan ini melibatkan 10 jenis bantuan antaranya rawatan perubatan, bantuan am, bantuan bulanan fakir miskin, bantuan persekolahan dan lain-lain.

Manakala, bagi perbelanjaan asnaf mualaf pula RM 1,632,328.00 dibelanjakan bagi tempoh Januari hingga Jun melibatkan lapan program agihan termasuklah bantuan keraian, pelajaran mualaf, program dakwah serta beberapa program bantuan lain.

Tambah beliau lagi, kelompok asnaf fisabillah juga turut dibantu dengan perbelanjaan RM 31,866,402.00
dan menjadi segmen kedua terbesar dalam program agihan zakat MAIK.

Peratusan peruntukan ini telah mengalami peningkatan 10 peratus berbanding RM 28,996,473.00 pada tahun lalu.
Jumlah perbelanjaan ini difokuskan kepada lima jenis program bantuan, antaranya pendidikan, pelbagai agihan zakat, pengurusan, pengimarahan dan pembangunan masjid dan lain-lain.