Home Berita PAS Melaka

Penyelesaian isu Covid-19 terencat | Catatan malam PJ PAS Melaka

97
SHARE

SAYA mengekori dan mengikuti perkembangan isu menangani Covid-19. Umum mengetahui ini bukan isu Malaysia sahaja bahkan ia sudah jadi isu global tidak kira negara maju atau miskin.

Kalau nak kata ekonomi terjejas, apa yang pelik? Kalau nak kata pasal lockdown, negara mana yang tak buat lockdown dalam situasi begini?

Bagi saya, Malaysia boleh percepatkan usaha menangani isu Covid-19, cuma usaha ini perlu ditangani secara bersepadu oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang yang pelbagai.

Tetapi malangnya ia tidak berlaku. Ibarat sebahagian sedang memperbaiki perahu, sebahagian lagi sedang merosakkannya. Kalau begini keadaannya bila perahu itu boleh belayar dengan stabil?

Bagi saya watak-watak perosak inilah yang perlu dipersalahkan oleh rakyat. Pihak kerajaan sudah memerah keringat dengan pelbagai insentif diperkenalkan hingga terpaksa menambah hutang selain hutang lapuk kerajaan terdahulu. Itu pun ada juga radio buruk bersuara kenapa kerajaan berhutang?

Pada saya baiklah berhutang daripada merompak. Dalam Islam pun ada keharusan untuk kita berhutang.

Sehinggalah menteri-menteri berkorban tak ambil gaji, saya rasa lima bulan gaji (dua bulan pada tahun lepas dan tiga bulan yang baru diumumkan). Itu pun ada juga yang ‘kondem’ sepatutnya semua elaun sekali dikorbankan.

Saya pelik sikap makhluk sebegini, kamu ni spesis jenis apa? Itu hak menteri, ikut merekalah nak sumbang. Mereka pun ada komitmen besar. Tapi kamu yang hanya tahu ‘kondem’ setiap hari tu, apa yang kamu sumbangkan?

Sebab itu bagi saya bukan caranya kalau nak bantu selesaikan isu Covid-19 ini.

Begitu juga figura politik. Berilah peluang dan kerjasama kepada ‘goverment of the date’ laksanakan tugas. Zaman dia memerintah berilah peluang kepada dia beraksi demi kesejahteraan rakyat.

Ini bukan masa nak cari populariti dalam krisis. Tunggulah bahtera tenang, ombak tidak membadai, ketika itulah masa berpancak silat siapa yang jaguh di medan.

Hakikatnya rakyat jelata sudah mula rasa lemas dan bosan. Seorang berwirid saban hari buka Parlimen demi tegakkan demokrasi konon! Seorang lagi pula minta buat mageran, untuk tangani Covid-19 konon!

Esok lusa entah apa lagi idea songsang yang bakal keluar. Walau pun Islam sendiri meraikan kepelbagaian pandangan tetapi keputusan pemerintah adalah terpakai.

Kaedah feqh ada mengatakan :
حكم الحاكم يرفع الخلاف
Maksudnya: Keputusan pemerintah mengangkat kekhilafan.

Suka juga saya peringatkan kepada pendukung-pendukung demokrasi, bahawa demokrasi itu bukan satu agama yang mesti diimani. Ia hanyalah satu sistem pemudah cara dalam sesuatu pentadbiran atau pengurusan. Tetapi apabila dalam sesuatu keadaan yang tidak sesuai, maka kita perlu ambil alternatif.

Umpama kita makan, dalam sistem biasa melalui mulut. Tetapi apabila seseorang itu sakit kronik di mulut, maka doktor akan cari alternatif lain untuk salurkan makanan sama ada melalui tiub atau tebuk di perut.

Yang di-Pertuan Agong merasakan ketika ini perlunya darurat, ikut sahajalah. Kata menghormati Raja-Raja Melayu?

Kesimpulannya adalah, hentikan kerja sia-sia, berganding bahu benteras Covid-19.

Coretan ringkas daripada :

DATUK USTAZ KAMARUDIN HJ SIDEK
Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka

Nukilan Malam :
13hb Jun 2021 | Ahad | 10.20pm

Isnin 14 Jun ’21 | 4 Zulkaedah 1442