Home Berita PAS Johor

Penyatuan Melayu Asas Survival Islam di Malaysia

1107
SHARE

PENYATUAN MELAYU ASAS SURVIVAL ISLAM DI MALAYSIA

Oleh: Hafsah Abdul Rahman

Pasir Gudang, 6 April 2019 : Kemuncak Karnival Johor Sejahtera dibanjiri dengan kehadiran ahli PAS dan UMNO sempena ceramah perpaduan ummah bertempat di Taman Air Biru.

Kehadiran dua tokoh Naib Presiden daripada kedua-dua parti PAS dan UMNO, YB IR Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Dato’ Seri Khaled Nordin terus menghangatkan suasana.

YB Dato’ Iskandar di dalam ucapannya menyatakan umat Islam hari ini di seluruh dunia lemah bukan kerana faktor ekonomi, keilmuan mahupun ketenteraan, tetapi disebabkan pergaduhan dan perpecahan. Justeru dunia hari ini mahu melihat umat Islam bergaduh dan berpecah.

Mengambil kesempatan musim mesyuarat agung tahunan di kawasan-kawasan seluruh negara beliau menyebut rutin ahli PAS yang akan menyanyikan lagu tema PAS. Perkataan pertama lagu tersebut bermula dengan ‘Bersatulah’ dan ‘Bersatu, bersatu’ di permulaan lagu UMNO, beliau menyifatkan kebetulan ini seolah telah diatur oleh Allah Ta’ala untuk umat Islam di Malaysia terutama pendokong kedua parti ini dalam menggarap sebuah kesatuan demi memartabatkan Islam.

Beliau menyeru ahli PAS dan UMNO serta seluruh rakyat Malaysia melupakan sedikit perbezaan dan memberi sokongan penuh kepada kerjasama umat melayu demi survival Islam di Malaysia.

Terdahulu, Dato’ Seri Khaled Nordin menekankan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang tidak mampu menunaikan harapan rakyat dan janji manifesto mereka selain hanya menyalahkan kerajaan terdahulu. Beliau juga menyifatkan kerajaan PH merupakan kerajaan yang rapuh kerana tidak mampu mengurus negara ini ke arah yang lebih baik.