Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Penulisan Sebagai Medium Dakwah

223
SHARE

Penulisan Sebagai Medium Dakwah

1. Firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 110 mengingatkan kita “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”

Setiap umat Islam adalah pendakwah. Tidak kira lelaki atau perempuan apatah lagi kita yang telah menggabungkan diri dalam gerakan Islam. Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi menulis dalam kitabnya, al-Awlawiiyat al-Harakah al-Islamiyah fi al-Marhalah al-Qadimah, dalam menyatakan keutamaan gerakan Islamiah bagi menghadapi cabaran mendatang iaitu: “Meletakkan setiap sesuatu pada martabatnya (kedudukannya), tidak dikemudiankan apa yang sepatutnya didahulukan atau mendahulukan apa yang sepatutnya dikemudiankan, tidak diperkecilkan sesuatu perkara yang besar dan tidak diperbesarkan sesuatu perkara yang kecil.”

2. Bagi menyahut arahan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, agar semua peringkat kepimpinan meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang gerakerja dakwah, maka Lajnah Penerangan Media Baru (LPMB) telah berjaya menganjurkan bengkel penulisan untuk kepimpinan DMPM (PENA 2019).

Sepanjang bengkel ini, pembentang telah berkongsi tentang teknik menulis berita, kenyataan dan bentuk laporan. Penceramah juga memberikan tips untuk menghasilkan penulisan yang baik, tepat dan terbaik! Bengkel dikendalikan oleh Puan Sarina Ismail, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang penulisan.

3. Sukalah diingatkan bahawa penulisan merupakan salah satu saluran dakwah yang penting. Melalui tulisan juga, ia boleh mengubah manusia dari kefasikan kepada kebenaran.Tulisan yang baik adalah tulisan yang boleh mengubah cara berfikir, memberi kefahaman yang jelas, dan berupaya mempengaruhi cara tindakan seseorang.

Penulisan yang baik tidaklah perlu kepada ayat-ayat provokasi, mencaci dan menggunakan perkataan sumpah seranah. Gunakan kata yang berhikmah, sopan serta dalam masa yang sama menjaga tutur kata dan akhlak seorang muslim.

4. LPMB mengharapkan dengan usaha mengadakan Bengkel Penulisan PENA, dapat menggalakkan lebih ramai lagi pimpinan PAS untuk menulis dan dapat juga mengasah bakat-bakat baru yang terdapat di dalam lajnah-lajnah DMPM dan Dewan Muslimat PAS Negeri-Negeri. Ikatlah ilmu dengan menulis. Semoga tulisan anda menjadi saham bekalan akhirat kelak.

Dr Najihatussalehah Ahmad.
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
5 Rabiul Akhir 1441
2 Disember 2019