Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ziarah Medik Catat Sejarah Tersendiri

130
SHARE

Ziarah Medik Catat Sejarah Tersendiri

MELAKA – Seramai 33 orang pesakit dan golongan yang memerlukan berjaya disantuni menerusi program Ziarah Medik Penyatuan Ummah siri 1 (ZMPU 1.0), Sabtu, 30 November 2019.

Program yang julung kali diadakan itu bermula jam 7.30 pagi dan tamat pada jam 2 petang di sekitar DUN Duyong, Kota Melaka.

Lebih membanggakan, program tersebut adalah anjuran bersama Jabatan MusMedik Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Majlis Tindakan DUN Duyong serta Pergerakan Wanita UMNO Negeri Melaka dan Bahagian Kota Melaka.

Perasmian program telah disempurnakan oleh Al Fadhil Ustaz Kamarudin Sedik, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka dengan gimik menarik serta tayangan montaj dari pihak Jabatan MusMedik Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Majlis turut dihadiri oleh Pn. Hjh. Aziah Saad, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Datuk Hjh. Kalsom Nordin, Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Negeri Melaka, Pn. Noorfazilah Ismail, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka dan Pn. Norhayaty Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka.

Menurut Pengarah Jabatan Musmedik, Dr. Reen Mohd Amin, antara lain inisiatif mesra rakyat itu diambil bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan secara terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekaligus memenuhi tuntutan hak seorang saudara Muslim yang sakit.

Selain itu, menerusi ZMPU, diharap dapat membantu mendekatkan muslimat amnya dengan masyarakat umum di setiap peringkat.

Program itu juga menjadi platform membina ukhuwah serta menjana motivasi dalam kalangan wanita Islam demi menjayakan matlamat Muafakat Nasional.

Memberi khidmat kesihatan dalam bentuk fizikal, mental, dan kerohanian demi mencapai matlamat kesihatan kerana Allah SWT juga antara matlamat utama ZMPU Siri 1.0 tersebut.

Seramai 10 orang petugas MusMedik dan 30 orang petugas dari Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka dan Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka telah bersama-sama menjayakan program tersebut. Semoga Allah SWT memberkahi usaha ini, serta tertunai hak sesama saudara menerusi program Ziarah Medik Penyatuan Ummah ini.