TUMPAT, 25 Mac: Penjawat awam adalah jentera penghubung kerajaan dengan rakyat dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan untuk rakyat.
Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata demikian sewaktu berucap menyampaikan amanat kepada ketua-ketua jabatan dalam Majlis Menteri Besar Jjupo Mato bersama Ketua-Ketua Jabatan Tumpat di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujoh, semalam.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap dasar kerajaan dalam membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Dengan adanya program pembangunan di jajahan-jajahan diharap akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat setempat demi pembangunan sosioekonomi rakyat.
Dalam menjayakan program ini selain daripada kesungguhan para penjawat awam merancangkan setiap program kerjasama daripada rakyat juga amat kita harapkan,” katanya.
Tambahnya, melalui tiga teras utama Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan sebagai tonggak dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) akan memberi kesedaran tugas dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam adalah amanah daripada Allah SWT.
Terdahulu, Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah menyampaikan taklimat tentang pembangunan di jajahan Tumpat.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad, ADUN Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan, ADUN Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah dan Ketua-ketua jabatan.