Home Berita PAS Johor

Peniaga Maharani yakin kredibiliti calon PN

402
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 28 Feb : Rata-rata respon yang diterima dari kalangan peniaga cukup positif. Mereka yakin dengan integriti dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh kerajaan Perikatan Nasional semasa di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dahulu.

Demikian dinyatakan oleh calon DUN N15 Maharani, Cikgu Abd Aziz Talib ketika kunjungannya ke Pasar Tani di Jalan Stadium, pagi semalam.

Dalam sesi menyantuni para peniaga, ramai di antara mereka yang menyatakan rasa syukur di atas keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional yang banyak memberikan bantuan kepada rakyat, lebih-lebih lagi sepanjang PKP dilaksanakan dahulu.

“Seronok melihat kesungguhan orang kita yang berusaha mencari rezeki di Pasar Tani yang menjual pelbagai barangan seperti makanan, minuman, pakaian, pokok hiasan, busking dan barang keperluan harian lain.

“Ada lebih kurang 100 peniaga yang sebahagian besar adalah bumiputera yang menjadikan Pasar Tani sebagai tempat sumber pendapatan,” jelas Cikgu Aziz.

Beliau turut berkata keluhan tetap ada seperti masalah kenaikan harga barang, kes Covid-19 yang semakin meningkat dan birokrasi yang dihadapi dalam urusan tertentu.

“Walaupun begitu, kelihatan mereka positif dan yakin dalam menghadapi kekangan ekonomi sekarang.

“Mereka inginkan ada perubahan yang berlaku di pihak kerajaan, agar keadaan kembali stabil dan mereka optimis kerajaan Perikatan Nasional mampu membawa perubahan yang lebih mensasarkan bantuan kepada rakyat,” ujar beliau.

Aktiviti ziarah berkenaan juga turut diselitkan dengan edaran risalah calon kepada semua pengunjung sebagai satu cara memperkenalkan calon Perikatan Nasional bagi DUN Maharani.

“Saya tidak menyangka dapat bertemu dengan bekas-bekas pelajar yang turut berniaga di situ. Sempat bertemu dengan adik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut berada di situ. Saya rasa cukup terharu kerana beliau turut memberikan kata-kata nasihat dan semangat kepada saya.

“Ada juga peniaga yang masih rindukan Dr Mohamad Taslim ketika menjadi Adun Maharani dulu selama dua penggal. Insya-Allah, saya akan teruskan kerja-kerja kebajikan yang diusahakan sahabat saya itu sepanjang beliau menjadi wakil rakyat, ” ujar Cikgu Aziz mengakhiri kata.