Home Berita PAS Kedah

Peniaga kecil tertekan, hilang 80 peratus pendapatan – IKHLAS

186
SHARE

POKOK SENA – Peniaga kecil di pasar pagi dan pasar malam, penjaja di tepi jalan atau warung-warung yang berniaga kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang adalah paling terjejas ketika ini.

Pun demikian, keizinan kerajaan untuk mereka diberi kawasan bebas berniaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit melegakan setelah rata-rata terjejas pendapatan hingga 80 peratus.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Sarjakhan Abu Bakar berkata, bagaimanapun tidak semua peniaga dapat mengadan jualan di lokasi bebas yang dibenarkan.

Beliau memberi contoh peniaga kain baju, peralatan dapur, peruncitan, perkhidmatan dan seumpamanya tidak sesuai untuk jualan seperti itu menyebabkan mereka berterusan terkesan hingga terputus bekalan makanan.

Menurut beliau, malah terdapat peniaga yang sangat terdesak hingga terpaksa membuat pinjaman ‘ahlong’, namun masih tidak dapat menyelesaikan bayaran hingga timbul masalah lain.

“Dalam masa yang sama, mereka ini pula ada berbagai komitmen terpaksa bayar sewa rumah, pinjaman perniagaan dengan Amanah Ikhtiar ataupun dengan MARA, dengan TEKUN dan sebagainya.

“Dalam masa yang sama, komitmen untuk makan minum keluarga. So, jika perniagaan mereka terjejas sebegini teruk sehingga hampir 80 peratus, maka ini menyebabkan pusingan modal mereka juga tersangkut,” terangnya.

Beliau menyuarakan perkara tersebut ketika menerima sumbangan daripada Khidmat Malaysia yang disampaikan Ahli Dewan Negara, Senator Ahmad Yahaya di Ina Dsukma Motel, Taman Bandar Baru, di sini hari ini.

S

Sehubungan itu beliau berharap agensi kerajaan yang berkaitan keusahawanan dan penjaja turun padang mengambil maklum situasi sebenar dan membantu membebaskan mereka dari masalah tersebut.

Kerana jelas beliau, masalah yang berlaku telah melarat kepada isu sosial lain seperti perceraian, pergaduhan dalam rumah tangga serta jenayah lain di mana tekanan tersebut mesti segera diatasi sebaiknya.

Katanya, para peniaga juga mempunyai anak-anak yang berkeperluan contohnya peranti mudah alih untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan ketika ini.

Dalam pada itu, Senator Ahmad mengakui ujian pandemik COVID-19 ketika ini memberi tekanan bukan sahaja kepada keselamatan dan kesihatan, tetapi juga ekonomi yang semakin parah.

“Kita mengharapkan sedikit sumbangan ini dapat meringankanlah, bukan menyelesaikan, tapi dapat meringankan bebanan yang dihadapi. Doakanlah pandemik ini dapat diatasi dan diangkat oleh Allah Taala seberapa segera yang boleh.

“Ini hak Dia-lah, hak tuhan menguji kita. Tetapi hak kita pula ialah saling tolong menolong, prihatin pada saudara kita yang memerlukan,” ujarnya.

Turut hadir Adun Bukit Lada, Ustaz Mohd Salim Mahmood, Haji Radhi Mat Din, Pengarah Pusat Khidmat Dun Bukit Lada serta ahli jawatankuasa PAS Kawasan Pokok Sena