Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
TUMPAT, 25 Jun: Mazlan Awang, 56, pemilik kedai makan di Chabang Empat, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mengisytiharkan Pakej Bantuan Cakna Rakyat Negeri Kelantan kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ‘Total Lockdown’.
Beliau yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan kedai makan berharap supaya pihak Kerajaan Negeri terus memberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya terhadap golongan peniaga yang terkesan sepertinya, jika tempoh PKP dilanjutkan.
“Semoga pakej bantuan fasa kedua berjumlah 2.25 juta yang disalurkan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak RM50,000 itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan peniaga yang terkesan akibat PKP”, katanya.