Home Berita PAS Melaka

Peniaga bersabar di musim PKP

377
SHARE

Oleh : Siti Salwani Mohd Kassim

KOTA MELAKA, 23 Jan: Suasana agak lengang di pekan Telok Mas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang mana sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan peniaga di tapak pasar pagi dalam satu tinjauan yang dibuat oleh Wartawan Rakyat Melaka (WARM), di sini, pagi semalam.

Namun rata-rata para peniaga yang ditemui tetap menzahirkan kesyukuran kerana masih ada pelanggan yang keluar membeli jualan barangan basah mereka.

“Alhamdulillah, boleh berniaga tapi pendapatan agak kuranglah. Kalau keadaan biasa sebelum wabak Covid ini melanda saya boleh dapat antara RM300 sehingga RM400 sehari, sekarang ni pun dapat kira-kira separuh dari itu,” kata seorang penjual santan, Siti Nurhadirah Kadar.

Siti Nurhadirah Kadar sedang melayan pelanggan

Siti Nurhadirah bagaimanapun bersetuju bahawa PKP ini adalah untuk kebaikan semua rakyat Malaysia dan harus dilalui dengan sabar.

Beliau turut bersyukur kerana mempunyai pelanggan tetap yang berniaga makanan di restoren di mana setiap hari mereka akan membeli santan darinya.

“Sama-sama berniaga, kita bantu sesama kawan-kawan. Ada juga saya letak produk kawan-kawan dan berniaga di dalam talian supaya semua mendapat rezeki,” ujarnya lagi ketika ditemuramah.

Muhamad Hadi Kamarudin (kanan) bersama sepupunya yang membantu perniagaan ikan di sebelah.

Sementara itu, bagi peniaga ayam, Muhamad Hadi Kamarudin, keadaan PKP 2.0 ini lebih baik berbanding PKP yang pertama pada bulan Mac tahun lepas kerana peniaga dibenarkan berniaga di tapak pasar pagi.

Menurut Muhamad Hadi, ayam adalah antara bahan asas makanan dan pelanggan tetap ada datang membeli walaupun jumlah berkurangan kerana nasihat kekal di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita faham bahawa kerajaan sedang menjaga rakyat dan juga kestabilan ekonomi.

“Kerana itu perniagaan dibenarkan. Sebagai rakyat kita kenalah jaga SOP yang ditetapkan”, katanya.

Sambil berharap agar wabak pandemik ini segera pergi, beliau tetap bersyukur kerana jualan harian masih mampu menampung perbelanjaan keluarga.

Md Zubair di gerai sayurnya

Md Zubair, seorang peniaga sayur di sini pula menzahirkan penghargaannya kepada pihak berkuasa tempatan yang selalu datang menegur dan membantu peniaga dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut Zubair yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Pasar Pagi Telok Mas, amat perlu setiap peniaga mematuhi arahan menyediakan buku pendaftaran pelanggan, kod QR, memasang tali rentang dan memastikan jarak fizikal pembeli seperti yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Jika kita ikut arahan Majlis Perbandaran dan polis, mereka juga sangat memahami, memberi kerjasama dengan kita dan akan memudahkan semua pihak untuk urusan jual beli. Semua pihak akan mendapat manfaat,” ujarnya.

Apabila ditanya tentang pendapatan di PKP 2.0 ini, Zubair bersyukur masih meraih pendapatan walaupun jualan tidak menentu.

Sambil menyatakan kekesalannya kerana harga sayur-sayuran yang semakin meningkat, beliau mengambil pendekatan menurunkan sedikit harga jualannya supaya pembeli kurang terkesan.

“Tidak mengapa kita untung nipis. Sama-sama bantu sesama kita. Semua orang terkesan dengan wabak ini”, katanya sambil melayani pelanggan.