Home Berita PAS Kelantan

Pengundi muda perlu berpengetahuan

53
SHARE

MACHANG, 25 September: Keputusan kerajaan menurunkan had usia yang layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun adalah satu inisiatif yang patut dipuji khususnya untuk meningkatkan keterlibatan golongan belia dalam pembentukan kerajaan dan juga pentadbiran negara.

Namun begitu, bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, golongan pengundi muda hari ini perlu dibimbing serta diperkasakan literasi politik mereka khususnya pemahaman tentang bagaimana ciri-ciri pemilihan pemimpin yang baik, berintegriti serta berjiwa rakyat.

“Hasil dapatan kajian yang kita buat baru-baru ini, 51 peratus pengundi muda Melayu apabila ditanya soalan apakah ciri calon pilihan yang akan diundi nanti, rata-rata jawapan memilih berdasarkan keperibadian mereka dari segi harta, rupa dan sebagainya. Berbeza dengan pengundi muda berbangsa Cina dan India, 49 peratus rata-rata bertindak dengan betul apabila jawapan lebih kepada memilih calon yang lebih berintegriti dan calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat,” ulasnya.

Beliau berkata demikian pada Program Penerangan Isu Semasa kepada pimpinan akar umbi bertempat di Markaz Dewan Ulama’ (MADU).

Turut hadir, ADUN kemuning YB Mohd Roseli Ismail, ADUN Gaal Mohd Rodzi Ja’far serta ADUN Limbongan YB Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.

“Salah pilih pemimpin, kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah pada masa akan datang, dan perlu saya tekankan pilihan berada di tangan masing-masing dan apabila berkaitan dengan kerajaan, ia merupakan tanggungjawab semua,” katanya.