Home Berita PAS Kelantan

Penghayatan Akhlak & Tasauf melalui pedoman Al-Quran (Juz 25)

129
SHARE
“Mizan Ganjaran Dunia & Akhirat”
Penelitian kepada ayat Al-Quran hari ini memfokuskan tentang keseimbangan pelaksanaan amalan dan memberi keutamaan kepada soal hari kebangkitan yang berpusat pengiraan segala amalan yang telah dilakukan. Orang yang mengutamakan akhirat akan diberi limpah kurnia melebihi apa yang dihajatinya semasa di dunia. Hayati firman Allah SWT:
مَن كَانَ یُرِیدُ حَرۡثَ ٱلۡـَٔاخِرَةِ نَزِدۡ لَهُۥ فِی حَرۡثِهِۦۖ وَمَن كَانَ یُرِیدُ حَرۡثَ ٱلدُّنۡیَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَا لَهُۥ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ مِن نَّصِیبٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak”. (Al-Syura: 20)
Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas kepada manusia dalam Mizan kehidupan. Hal ini supaya berlakunya keseimbangan ketika pengabdian diri semasa di dunia. Walaupun sifat dunia itu sementara, Islam tidak mahu orang Mukmin menolak dunia sebegitu sahaja kerana ia adalah tempat mereka berladang untuk akhirat. Namun, pada masa sama, umat Islam mesti membetulkan setiap waktu niatnya supaya tidak lari daripada matlamat asal iaitu akhirat mesti dijadikan keutamaan. Berkata Abdullah bin Umar R.Anhuma:
وَاحْرُثْ لِدُنْيَاكَ كَأَنَّكَ تَعِيشُ أَبَدًا وَاعْمَلْ لِآخِرَتِكَ كَأَنَّكَ تَمُوتُ غَدًا
“Hendaklah bekerja untuk dunia kamu seolah-olah kamu hidup atasnya selamanya dan beramal lah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya”.
Orang yang berjaya mengendalikan Mizan dan keseimbangan kehidupan dunia akhirat ialah golongan yang berpandangan jauh dan selalu taqarrub dengan Allah. Dunia perlu diuruskan mengikut perspektif akhirat dan bukannya amalan akhirat perlu mengikut urusan keduniaan. Menjadi kesilapan sesetengah umat Islam yang mengurus agenda akhiratnya mengikut aturan dunia yang berakhir dengan dunia mengawal diri dan segala amalan akhirat mulai ditinggalkannya.
Keseimbangan amalan ketika di dunia hendaklah meliputi seluruh amalan kebaikan dari sudut ilmu bagaimana ia diamalkan serta disebar, anak yang soleh, sedekah jariah, masjid yang dibina dan lain-lain. Contoh-contoh amal kebaikan yang dinyatakan Rasulullah SAW tersebut adalah sebagai suatu KPI setiap muslim bahawa perlunya ada perancangan amalan untuk dipersembahkan kepada Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman daripada amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah; ilmu yang dia ajarkan dan sebarkan, anak soleh yang dia tinggalkan, Mushaf Al-Quran yang dia wariskan atau masjid yang dibina atau rumah bagi ibnu sabil yang dia bina atau sungai yang dia alirkan atau sedekah yang dia keluarkan daripada hartanya ketika dia sihat dan hidup. Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.” (Riwayat Ibn Majah dan Al-Baihaqi)
Pada hakikatnya, seluruh pemilikan kita semasa masih hidup di dunia adalah pinjaman daripada Allah. Apabila seseorang hartawan memberi sedikit hartanya, maka sebenarnya dia memberi harta Allah dan apabila dia meminjamkan sesuatu kepada seseorang, maka sebenarnya ia adalah pinjaman daripada Allah yang Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang berlipat ganda. Penerima yang susah dan miskin hanya sebagai wasilah dan sebab sahaja untuk membolehkan pemberi tersebut menerima ganjaran hasil infak yang telah diberikannya itu.
Oleh yang demikian, umat Islam digesa mengutamakan akhirat lebih daripada dunia mereka untuk mendapat pelbagai kelebihan dan kurniaan Allah. Jika kita mengejar dunia semata-mata, belum tentu mendapat kurniaan akhirat. Insya-Allah, sekiranya kita niatkan hidup di dunia tetapi untuk mencari redha Allah dan saham kebahagiaan di akhirat kelak, maka Allah pasti akan menurunkan keberkatan serta kenikmatan di dunia lagi sebelum akhirat.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
25 Ramadhan 1442/07 Mei 2021
https://twitter.com/datoahmadyakob