Home Berita PAS Kelantan

Penghayatan Akhlak & Tasauf melalui pedoman Al-Quran (Juz 21)

178
SHARE
“Bersiap Hadapi Cabaran Getir Mendatang”
Penghayatan Juz 21 hari ini meneliti ayat Al-Quran berkaitan perangai manusia dalam berhadapan dengan fenomena alam khasnya situasi bumi yang kekeringan kontang dan hasilnya yang sangat berkurangan. Allah SWT menurunkan hujan sebagai kemudahan kepada manusia dalam masa yang sama Allah menguji keimanan mereka. Namun dikala hujan ditahan, kebanyakan mereka tergolong dalam kalangan yang berputus asa. Firman Allah SWT:
ٱللَّهُ ٱلَّذِی یُرۡسِلُ ٱلرِّیَـٰحَ فَتُثِیرُ سَحَابࣰا فَیَبۡسُطُهُۥ فِی ٱلسَّمَاۤءِ كَیۡفَ یَشَاۤءُ وَیَجۡعَلُهُۥ كِسَفࣰا فَتَرَى ٱلۡوَدۡقَ یَخۡرُجُ مِنۡ خِلَـٰلِهِۦۖ فَإِذَاۤ أَصَابَ بِهِۦ مَن یَشَاۤءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۤ إِذَا هُمۡ یَسۡتَبۡشِرُونَ. وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبۡلِ أَن یُنَزَّلَ عَلَیۡهِم مِّن قَبۡلِهِۦ لَمُبۡلِسِینَ
Maksudnya: “Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan. Kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya berkelompok lalu engkau melihat hujan keluar dicelah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira. Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa”. (Al-Rum: 48-49)
Nikmat hujan adalah satu daripada rahmat Allah SWT yang diturunkan dari langit kepada semua makhluk-Nya di bumi. Penurunan hujan ini datang beserta keberkatan yang dapat memberi manfaat yang besar kepada kehidupan manusia. Imam Al-Baghawi dalam mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa hujan yang turun itu mengalir dibumi lantas memberi kesuburan sehingga kehidupan di bumi dapat hidup dan membiak dengan sempurna.
Akan tetapi tidak semua hujan adalah rahmat bagi manusia. Terkadang ia adalah malapetaka yang diturunkan Allah SWT sebagai peringatan buat mereka yang ingkar. Kaum Nabi Nuh A.S pernah diutuskan hujan yang begitu lebat sehingga menenggelamkan bumi sebagai tanda azab lantaran keingkaran mereka terhadap seruan Nabi Nuh A.S. Bala yang diturunkan melalui hujan juga seumpama bah besar yang sampai kepada had bahaya atau terjadinya kemarau di musim hujan. Maka hal ini tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa. Ia adalah musibah besar, bala bencana dan keburukan, lebih-lebih lagi apabila sampai tahap memusnahkan jiwa dan harta benda.
Sebenarnya, musibah dan bala yang terjadi adalah disebabkan hasil tindak tanduk manusia itu sendiri. Imam Al-Baidhawi dalam tafsirnya menyebut bahawa akibat kesalahan manusia mengurus alam, menjadikan kerosakan berlaku dengan cuaca mula menjadi kering kontang, banyak kebakaran, banjir besar, hilangnya keberkatan dan banyaknya kebuluran.
Sesungguhnya manusia akan berhadapan nanti dengan tahun-tahun kelaparan dan kepanasan yang teramat sangat. Sebelum keluarnya Dajjal akan berlaku musibah besar selama tiga tahun dengan begitu dahsyat sekali. Pada tahun ketiga, hujan tidak lagi turun dan bumi menahan keseluruhan tumbuhan. Kesemua tanah akan kering kontang dan tiada makanan pada masa itu. Hanya zikrullah akan menjadi penguat yang mengantikan makanan pada masa tersebut.
Ini menunjukkan bahawa hanya golongan yang selalu membiasakan diri dengan zikrullah akan terselamat dan mampu berhadapan dengan cabaran getir itu. Sememangnya dengan melazimi zikir, ia secara langsung dapat menjadikan badan kita kuat dan cergas. Hal ini dibuktikan melalui sebuah riwayat hadis daripada Sayyidina Ali bin Abi Thalib R.A apabila Fatimah R.Anha mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa tangannya alami kecederaan dan beliau menginginkan seorang hamba untuk membantu. Lalu Nabi SAW mengajar zikir yang dapat memberi kekuatan kepada mereka dengan bersabda:
أَلَا أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَسَبِّحَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، وَاحْمَدَا ثَلَاثًا وَثَلَاثِيْنَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ
Maksudnya: “Tidakkah kamu berdua mahu aku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang hamba? Maka apabila kamu berdua mendatangi tilam atau dalam keadaan kamu berdua berbaring untuk tidur, bertakbirlah sebanyak 33 kali, bertasbihlah sebanyak 33 kali dan bertahmidlah sebanyak 33 kali. Hal ini adalah lebih baik untuk kamu berdua berbanding bantuan seorang hamba”. (Riwayat Al-Bukhari)
Oleh yang demikian, untuk berhadapan cabaran getir yang sudah pasti akan berlaku, seluruh umat Islam mesti memperbaiki diri untuk lebih mensyukuri nikmat Allah dengan mematuhi segala perintah-Nya dan memperbanyakkan amal soleh. Persediaan diri melalui zikrullah sangat dituntut bahkan sangat penting umat Islam berada dalam sebuah jemaah Islam supaya tidak mudah diterkam serigala. Cabaran zaman Dajjal terlalu sukar, jika gagal, seseorang itu bakal menempatkan dirinya ke lembah kekufuran, wal’iyazabillah.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
21 Ramadhan 1442/03 Mei 2021
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
https://twitter.com/datoahmadyakob